RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 dibentang bagi bacaan kali pertama

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan 2026) yang bertujuan untuk memperkukuh kuasa pengawalseliaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hukuman lebih berat bagi mereka memandu ketika lesen digantung: penjara hingga tiga tahun atau denda antara RM3,000 dan RM10,000.
  • Berlumba jalan raya dijadikan kesalahan: kali pertama denda antara RM2,000 dan RM10,000 atau penjara dua tahun; sabitan kedua hukuman lebih berat.
  • Kuasa penguatkuasaan diperluas; kompaun maksimum dinaikkan kepada RM500 dan pernyataan palsu boleh dihukum denda sehingga RM200,000 atau penjara 10 tahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika membentangkan RUU berkenaan berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan kali ini.

Menurut naskhah biru yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, RUU itu antara lain bertujuan untuk menaikkan denda daripada minimum RM300 kepada tidak kurang RM500 bagi beberapa kesalahan.

Antaranya kesalahan gagal mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan, tidak memiliki lesen, memandu tanpa lesen memandu yang sah, memandu melebihi had laju, melanggar syarat berkaitan pembinaan, kelengkapan dan penggunaan kenderaan serta mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas serta lumba haram.

Menurut RUU itu, Fasal 13 mencadangkan hukuman lebih berat terhadap individu yang memandu ketika lesen memandu digantung, dengan penalti dinaikkan kepada penjara hingga tiga tahun atau denda antara RM3,000 dan RM10,000 berbanding hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 sebelum ini.

Selain itu, pindaan Fasal 15 memperuntukkan seksyen baharu 42A bagi menjadikan perbuatan berlumba atau dugaan kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan dengan hukuman denda tidak kurang RM2,000 dan maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun bagi kesalahan kali pertama atau kedua-duanya.

“Jika sabitan kali kedua, denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya,” menurut RUU itu.

Selain itu, Fasal 37 bertujuan untuk meminda Seksyen 120 supaya amaun kompaun maksimum bagi kesalahan boleh kompaun dinaikkan daripada RM300 kepada RM500, manakala Fasal 28 serta subfasal 28(a) dan 28(b) mencadangkan penalti bagi kesalahan membuat pernyataan palsu diperketatkan dengan denda sehingga RM200,000 atau hukuman penjara hingga 10 tahun.

Sementara itu, Fasal 22 mencadangkan pindaan Seksyen 66 Akta 333 untuk memberi menteri kuasa bagi menetapkan fi berhubung dengan pengeluaran suatu permit masuk kenderaan motor asing.

RUU berkenaan juga memperuntukkan kuasa lebih luas kepada pegawai polis dan pegawai pengangkutan jalan dalam mengawal serta mengubah haluan lalu lintas.

Selain itu, pindaan turut menetapkan tatacara penahanan dan pelupusan kenderaan mikromobiliti serta memperkenalkan kesalahan menghalang atau menyerang pegawai penguat kuasa yang diklasifikasikan sebagai kesalahan boleh tangkap.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.