FAM perlu berani laksana reformasi menyeluruh

Datuk Richard Scully, Pemerhati bola sepak negara

KUALA LUMPUR, 21 Jun– Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu berani melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memastikan bola sepak negara terus berkembang dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perubahan tidak cukup sekadar pertukaran individu; perlu penilaian semula struktur pembangunan, falsafah permainan dan hala tuju sukan.
  • Peluang Piala Dunia 2026 untuk meneliti model berjaya seperti Cape Verde, Jepun dan Korea, kemudian sesuaikan dengan keperluan tempatan.
  • Manfaatkan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan; laksanakan pelan pembangunan jelas dan konsisten bagi sistem mampan, bukan bergantung individu.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully berkata, usaha itu tidak boleh terhad kepada pertukaran individu semata-mata.

Sebaliknya, ia perlu melibatkan penilaian semula terhadap struktur pembangunan, falsafah permainan dan hala tuju sukan berkenaan.

Menurut beliau, penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 ketika ini juga memberi peluang terbaik kepada Malaysia untuk mengkaji negara yang mempunyai model pembangunan bola sepak yang berjaya.

“Negara mana yang boleh bantu kita bersesuaian dengan pedagogi atau DNA bola sepak kita. Bagi saya, Cape Verde membuktikan mereka mampu berada di pentas Piala Dunia dan kita boleh memanfaatkan kepakaran mereka.

Selain itu, Jepun dan Korea Selatan juga antara negara yang boleh dijadikan rujukan untuk membantu pembangunan bola sepak kita,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata, penganjuran Piala Dunia ketika ini memberi peluang kepada Malaysia untuk meneliti pendekatan negara-negara yang berjaya sebelum menyesuaikannya dengan keperluan tempatan.

Richard turut berpandangan penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak negara.

“Tak kisah siapa yang mengemudi, kita hormati semua pihak. Tetapi jika mahu maju ke depan, kita perlu berani membuat perubahan.

Dengan AI, teknologi dan sumber yang ada sekarang, kita perlu memanfaatkannya sepenuhnya. Yang penting ialah kemampuan individu itu membawa perubahan kepada bola sepak negara,” katanya.

Tambah beliau, proses penstrukturan semula yang sedang berlaku perlu disusuli pelan pembangunan yang jelas dan konsisten bagi memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan berbanding negara lain.

Katanya, kejayaan sesebuah negara bukan bergantung kepada individu tertentu semata-mata, sebaliknya memerlukan sistem pembangunan yang kukuh dan mampan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.