Kuartet MSN beri bayangan pecah rekod kebangsaan

Foto BERNAMA

SERDANG, 21 Jun– Kuartet 4×100 meter (m) lelaki Majlis Sukan Negara (MSN) memberi bayangan awal bahawa rekod kebangsaan acara itu berpotensi dipecahkan dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuartet MSN memenangi emas Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 di UPM dengan catatan 39.16 saat, memimpin dengan jurang selesa.
  • Ini penampilan pertama mereka bersama dalam pertandingan kompetitif, namun menunjukkan keserasian dan potensi peningkatan prestasi.
  • Muhammad Azeem yakin kuartet mampu catat masa lebih pantas; fokus mereka Kejohanan Asia B-23 kemudian Sukan Asia.

Petanda positif itu hadir selepas mereka meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Gandingan Muhammad Azeem Fahmi, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Mohamad Armin Zahryl muncul juara dengan catatan masa 39.16 saat (s).

Pasukan MSN itu meninggalkan pencabar lain dengan jurang yang selesa sepanjang perlumbaan.

Malaysian University (A) meraih perak dengan masa 40.02s, manakala Johor membawa pulang gangsa menerusi catatan 40.41s.

Lebih membanggakan, ia merupakan penampilan pertama keempat-empat pelari itu sebagai satu pasukan dalam pertandingan kompetitif.

Muhammad Azeem berkata, catatan tersebut menjadi petanda positif buat kuartet negara.

“Alhamdulillah, kami berjaya menghabiskan larian dan bagi saya catatan hari ini sangat baik.

Ini merupakan larian pertama kami sebagai satu pasukan dan masih banyak yang boleh diperbaiki lagi,” katanya kepada media selepas perlumbaan.

Menurut pemegang rekod kebangsaan 100m itu, faktor keserasian bukan masalah besar kerana mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Beliau yakin kuartet berkenaan mampu mencatat masa yang lebih pantas jika terus diberi peluang beraksi bersama.

Fokus mereka selepas ini ialah Kejohanan Asia Bawah 23 Tahun (B-23) sebelum mengalihkan perhatian kepada cabaran di pentas Sukan Asia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.