
MONTERREY, 21 Jun– Kehadiran ribuan penyokong di Stadium Monterrey memberi suntikan semangat buat Jepun untuk menang bergaya 4-0 ke atas Tunisia pada aksi Kumpulan F Piala Dunia FIFA 2026.
- Jurulatih Moriyasu puji sokongan luar biasa penyokong, termasuk peminat Mexico, yang menaikkan semangat pemain.
- Ayase Ueda meledak dua gol dan berkata suasana perlawanan membuatkan pasukan berasa seperti beraksi di laman sendiri.
- Perlawanan itu ialah perlawanan ke-1,000 Piala Dunia; Jepun kini mengumpul empat mata dan catat rekod Asia.
Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu berkata, sokongan luar biasa yang diterima sepanjang perlawanan membantu meningkatkan keyakinan pemain di atas padang.
“Terdapat begitu ramai penyokong Jepun di stadium. Kami dapat mendengar sorakan mereka sejak lagu kebangsaan dimainkan lagi.
Bukan itu sahaja, ramai penyokong Mexico turut memberikan sokongan kepada Jepun dan ia benar-benar membantu menaikkan semangat pemain,” katanya.
Moriyasu turut menyifatkan kemenangan itu lebih bermakna kerana perlawanan berkenaan merupakan perlawanan ke-1,000 dalam sejarah Piala Dunia.
Menurut beliau, pemain berjaya melaksanakan perancangan pasukan dengan baik meskipun berdepan Tunisia yang tampil bawah jurulatih baharu.
Sementara itu, penyerang Jepun, Ayase Ueda yang meledak dua gol turut mengakui suasana di stadium banyak membantu persembahan pasukan.
“Walaupun kami bermain jauh dari Jepun, kami berasa seperti beraksi di laman sendiri.
Saya percaya suasana itu memberi kesan besar terhadap persembahan pasukan,” katanya.
Kemenangan tersebut membolehkan Jepun mengumpul empat mata daripada dua perlawanan dalam Kumpulan F.
Dalam perlawanan itu, Jepun turut mencipta sejarah sebagai pasukan Asia pertama menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan Piala Dunia. -REUTERS