Calon sayap kanan Abelardo de La Espriella menang Pilihan Raya Presiden Colombia

Foto REUTERS

BOGOTA, 23 Jun – Calon sayap kanan Colombia, Abelardo de la Espriella disahkan memenangi Pilihan Raya Presiden Colombia selepas menewaskan pencabar daripada kem sayap kiri, Senator Ivan Cepeda dalam persaingan undi yang amat sengit pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiraan hampir keseluruhan kertas undi menunjukkan De la Espriella 49.66% berbanding Cepeda 48.70%.
  • Kemenangan beliau dijangka memulihkan hubungan diplomatik Bogota dengan Washington yang sebelum ini tegang.
  • Donald Trump awal menyatakan sokongan melalui panggilan telefon dan hantaran di Truth Social, menyifatkannya 'Kemenangan Besar!'.
  • Pemimpin serantau seperti Javier Milei, Daniel Noboa, Jose Antonio Kast dan lain-lain merakam ucapan tahniah.

Berdasarkan pengiraan hampir keseluruhan kertas undi, De la Espriella memperoleh 49.66 peratus undi berbanding Cepeda yang meraih 48.70 peratus undi, sekali gus meneruskan gelombang penguasaan pemimpin sayap kanan di rantau Amerika Latin.

Kemenangan peguam berusia 47 tahun yang terkenal dengan pendekatan keselamatan tegas itu dijangka bakal memulihkan semula hubungan diplomatik antara Bogota dengan Washington yang sebelum ini dilaporkan agak tegang.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merupakan antara pemimpin luar terawal menyatakan sokongannya terhadap De la Espriella menerusi satu panggilan telefon sejurus selepas keputusan rasmi diumumkan.

Trump kemudiannya turut memuat naik hantaran di Truth Social dengan menyatakan bahawa calon tersebut telah mencatatkan “Kemenangan Besar!”.

Selain AS, Presiden Argentina Javier Milei turut merakam ucapan tahniah kepada De la Espriella, yang mesra dengan julukan “The Tiger” dalam kalangan para penyokongnya.

“Majoriti rakyat Colombia telah memilih jalan kebebasan ekonomi, kemakmuran, dan keselamatan yang mutlak.

?Kebebasan kini sedang berkembang pesat di seluruh Amerika Latin dan tiada jalan untuk berpatah balik,” kata Milei menerusi hantaran di X beliau.

Dalam pada itu, Presiden Ecuador Daniel Noboa turut memuji keputusan berkenaan sambil menyatakan bahawa keputusan pengundi di Colombia menunjukkan penolakan jelas terhadap isu imuniti undang-undang bagi pelaku jenayah.

Sebelum ini, Noboa sering mengkritik dasar pentadbiran Presiden Colombia yang bakal tamat tempoh kelak,

Gustavo Petro, ekoran kegagalan membanteras isu penyeludupan dadah dan aktiviti perlombongan haram di sepanjang sempadan bersama kedua-dua negara.

Ucapan tahniah turut dizahirkan oleh beberapa pemimpin utama serantau yang lain termasuk Presiden Chile Jose Antonio Kast, Presiden Panama Jose Raul Mulino, serta pemimpin pembangkang Venezuela Maria Corina Machado yang mengharapkan jalinan sekutu yang lebih erat bagi fasa peralihan demokrasi di negaranya.

Perkembangan politik ini berlaku ketika Peru turut mencatatkan corak pengundian yang hampir sama, menyaksikan pemimpin sayap kanan Keiko Fujimori mendahului calon sayap kiri Roberto Sanchez dalam pengiraan undi pilihan raya presiden negara tersebut. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.