
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Kabinet, merupakan antara cadangan penambahbaikan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026.
- JKP mencadangkan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk reformasi institusi perundangan.
- Proses pelantikan dicadangkan lebih telus melibatkan Parlimen untuk membolehkan pandangan dikemukakan kepada SPKP.
- Jawatan Pendakwa Raya dicadangkan tempoh tujuh tahun tanpa pembaharuan, serta laporan tahunan diwajibkan kepada Parlimen.
- JKP bersifat dwipartisan; memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan dan merealisasikan reformasi.
Cadangan itu dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Dewan Rakyat mengenai RUU berkenaan yang bertujuan memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ia bagi membolehkan penelitian lanjut dijalankan, termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan serta penambahbaikan yang dikemukakan.
“Antara cadangan lain ialah proses pelantikan yang lebih telus melibatkan Parlimen, di mana nama calon yang dicadangkan akan dimaklumkan kepada Parlimen bagi membolehkan pandangan dikemukakan kepada SPKP,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Cadangan lain termasuk menetapkan tempoh jawatan selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula, selain mewajibkan Pendakwa Raya mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban institusi.
“Secara keseluruhannya, syor-syor yang dikemukakan bertujuan mewujudkan suatu institusi Pendakwa Raya yang bebas, profesional, bertanggungjawab dan diyakini oleh rakyat, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang serta amalan terbaik antarabangsa. Penyata yang dibentangkan hari ini akan menjadi asas kepada pertimbangan dan perbahasan Dewan Rakyat dalam langkah seterusnya. Jawatankuasa berharap semua Ahli Parlimen dapat meneliti syor-syor yang dikemukakan secara objektif dan konstruktif demi memastikan reformasi yang bakal dilaksanakan
benar-benar dapat memperkukuh sistem keadilan negara,” tambahnya.
RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan mereformasi serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Februari lalu.
Datuk Seri Azalina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu berkata, sejak RUU tersebut dibentangkan, jawatankuasa berkenaan menerima pelbagai pandangan, cadangan dan maklum balas yang konstruktif daripada Ahli Parlimen serta pelbagai pihak berkepentingan mengenai reformasi yang dicadangkan.
“Kita sedang menyediakan hala tuju baharu untuk negara. Parlimen mesti terlibat. Sebab itu perkara ini dibahaskan selama beberapa bulan. Saya berharap Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dapat menerima perkara ini sebagai reformasi sebenar untuk negara,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa itu dianggotai Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, mencerminkan pendekatan dwipartisan dalam meneliti reformasi institusi yang penting.
Sepanjang perbincangan, jawatankuasa berkenaan menerima taklimat daripada Jabatan Peguam Negara mengenai aspek perlembagaan, perundangan, pentadbiran dan pelaksanaan reformasi itu, selain mendapatkan pandangan daripada badan profesional, ahli akademik, pakar perundangan dan pertubuhan masyarakat sivil.
“Pendekatan ini membolehkan jawatankuasa meneliti cadangan tersebut daripada pelbagai sudut, termasuk implikasi perlembagaan, operasi, pentadbiran, sumber manusia dan kewangan, serta pengalaman negara-negara yang telah melaksanakan model serupa,” katanya.
Beliau berharap Ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak dapat menyokong pindaan Perlembagaan itu yang memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi memastikan reformasi tersebut dapat direalisasikan.
“Saya memerlukan majoriti dua pertiga. Tanpanya, saya tidak boleh meminda Perlembagaan. Namun saya percaya rakyat perlu menggalakkan Ahli Parlimen menyokong pindaan ini.
“Yang paling penting, jika kita terlepas peluang pada persidangan kali ini, saya bimbang kita akan ketinggalan dalam usaha melaksanakan reformasi ini,” katanya.