
KUANTAN, 22 Jun – Berbaki sembilan hari sebelum pelaksanaan harga diesel baharu iaitu RM2.10 seliter pada 1 Julai depan, rata-rata pengguna menyambut baik pengumuman tersebut.
- Pengurangan harga diesel disambut baik peniaga kecil; membantu mengekalkan harga dan mengurangkan beban operasi.
- Sektor logistik lega kerana kos bahan api berkurang, memberi penjimatan operasi dan meringankan kos penghantaran.
- Langkah subsidi disasarkan melalui MyKad diharapkan memastikan manfaat diagihkan sama rata kepada rakyat seluruh negara.
Tinjauan pemberita RTM mendapati, mereka amat mengalu-alukan usaha kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat.
Mereka menyifatkan penurunan harga diesel sebagai perkembangan positif yang mampu membantu mengurangkan kos harian kepada pelbagai sektor, khususnya kepada golongan peniaga.
Seorang pengusaha katering, Azri Che Mukhtar akui berasa lega, dan ia sedikit-sebanyak mampu menjimatkan kos perniagaannya.
“Saya menyambut baiklah dengan penurunan harga diesel ini. Ini bukti kerajaan mendengar rintihan kami sebagai pengusaha katering. Pelaksanaan harga ini sekurang-kurangnya dapat menjimatkan kos kami, di mana kos boleh kembali kepada asal. Jadi kami dapat mengekalkan harga yang terbaik untuk pengguna, dan dapat mengurangkan beban mereka juga,” katanya.
Sementara itu bagi sektor logistik, seorang pemandu lori Muhammad Ramzi Moaid Arif berkata, mereka antara golongan yang sangat-sangat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
“Alhamdulillah dari sudut itu dapat mengurangkan kos kami. Penggunaan yang sekarang, boleh dikatakan dalam tempoh seminggu melibatkan antara 5% ke 6% kos dikeluarkan untuk diesel,” katanya.
Manakala seorang peniaga Yusof Mohd Mohiddin menyifatkan inisiatif kerajaan itu amat membantu golongan peniaga sepertinya.
“Banyak membantu lah, sebabnya lebihan tu mungkin saya boleh buat perbelanjaan untuk lain lah. Sebab kenderaan pacuan empat roda yang kami gunakan memerlukan kos lebih tinggi setiap kali ke luar kawasan. Dalam seminggu, banyak dapat dijimatkan dengan harga diesel RM2.10 seliter,” katanya.
Sementara itu, pengusaha syarikat perancang perkahwinan Muhammad Ridzuan Abdul Ghani, turut menyatakan kelegaan.
“Saya sebagai pengusaha perniagaan kecil ini sangat rasa gembira dan lega dengan penurunan harga diesel ini. Sebab kita sebagai pengusaha kecil ni sangat terkesan apabila berlaku kenaikan harga diesel yang agak tinggi baru-baru ni. Jadi, bila berita harga diesel akan diturunkan seperti biasa tu, amat melegakan kami,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia diturunkan daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula 1 Julai menerusi mekanisme penyasaran subsidi menggunakan MyKad.
Langkah itu bertujuan memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang layak serta memberi manfaat sama rata kepada rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Harga diesel antara yang melonjak naik, didorong oleh peningkatan ketegangan di Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan tenaga dan mengganggu laluan perkapalan utama dunia.