
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
- RUU menangani ancaman siber moden termasuk kecurian identiti, penipuan dalam talian, perisian tebusan dan penyalahgunaan AI.
- Memperuntukkan kuasa kawal selia dan penguatkuasaan kepada NACSA, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perdana Menteri.
- Memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 untuk memenuhi obligasi antarabangsa seperti Konvensyen Budapest dan inisiatif PBB menentang jenayah siber.
- Mengukuhkan ekosistem keselamatan siber, melindungi rakyat, serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital, inovasi dan daya saing negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bacaan kali kedua dan ketiga ditetapkan pada 1 Julai.
Dalam kenyataan selepas pembentangan RUU itu, beliau berkata, pada masa kini, ancaman jenayah siber bukan sahaja melibatkan pencerobohan sistem komputer dan kecurian data.
Malah, turut merangkumi kecurian identiti, penipuan dalam talian, eksploitasi dan serangan perisian tebusan (ransomware), serta penyalahgunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
“Sehubungan itu, RUU Jenayah Siber 2026 ini adalah penting bagi mencegah dan memerangi jenayah siber yang semakin kompleks.
“RUU Jenayah Siber 2026 ini akan memperuntukkan kuasa kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan jenayah siber dan dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (NACSA, MKN JPM),” katanya.
Menurut beliau, RUU itu antara lain bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), bagi memastikan Malaysia dapat memenuhi obligasi antarabangsa bawah Konvensyen Budapest (Council of Europe Convention on Cybercrime), serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Jenayah Siber.
Ia mengandungi lapan Bahagian dan 61 Fasal yang akan memperuntukkan kuasa kawal selia, serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan jenayah siber yang lebih kompleks.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yakin penggubalan RUU itu akan menambah baik ekosistem keselamatan ruang siber negara, sekali gus menjamin persekitaran digital lebih selamat, terpelihara dan dipercayai.
“Melalui kerangka perundangan yang lebih mampan nanti, ia bukan sahaja akan melindungi rakyat secara tuntas, tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global,” katanya.