Ziarah Kasih UPM, bantu pelajar kurang berkemampuan mulakan pengajian

Dato’ Seri Jailani Johari (kiri sekali) bertemu pelajar di Kuala Terengganu/Foto UPM

SERDANG, 22 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM2,000 kepada lima pelajar baharu yang kurang berkemampuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan merangkumi yuran, sara diri dan insentif bagi memastikan pelajar memulakan pengajian dalam keadaan lebih kondusif.
  • Program Ziarah Kasih turun padang santuni keluarga pelajar untuk memahami keperluan sebenar dan memberi sokongan awal.
  • UPM komited memperluas program ini ke seluruh negara untuk membantu pelajar keluarga berpendapatan rendah terus melanjutkan pengajian.
  • Inisiatif berimpak sosial selaras dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi untuk bantuan bersasar kepada keluarga pelajar yang memerlukan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPM, Dato’ Sri Jailani Johari, bantuan tersebut merangkumi sokongan yuran pengajian, bantuan sara diri serta insentif pendidikan YPS bagi memastikan pelajar dapat memulakan pengajian dalam keadaan lebih kondusif dan terjamin.

Sumbangan itu disampikan oleh Dato’ Sri Jailani kepada empat pelajar baharu Program Asasi Sains Pertanian, UPM di Terengganu iaitu Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, Nor Haslinda Ibrahim, Muhammad aiszudin Alija dan Syaza Irisya binti Syamsul Azhar. Seorang lagi penerima bantuan ialah Maizatul Huda Mohd Raz di Pasir Gudang, Johor.

Inisiatif berkenaan merupakan siri program Ziarah Kasih Mahasiswa Baharu Asasi UPM yang memberi fokus kepada pendekatan turun padang bagi menyantuni keluarga pelajar yang memerlukan sokongan awal sebelum memulakan pengajian di universiti.

“UPM percaya akses kepada pendidikan tinggi tidak seharusnya terhalang oleh kekangan ekonomi. Melalui pendekatan ziarah dan intervensi terus kepada keluarga pelajar, universiti dapat memahami keperluan sebenar mereka serta memastikan kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan,” katanya menerusi kenyataan kepada RTM.

Minggu lalu, pelaksanaan fasa pertama sumbangan kepada empat pelajar baharu UPM telah dilaksanakan di Johor.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu yang hadir dalam program itu berkata program Ziarah Kasih Mahasiswa Baharu UPM itu akan diperluaskan ke seluruh negara.

“UPM akan memastikan lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terus mendapat peluang melanjutkan pengajian tanpa tercicir daripada sistem pendidikan tinggi.

“Inisiatif berimpak sosial ini ialah aspirasi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang menggesa institusi pendidikan tinggi turun padang dan beri bantuan bersasar kepada keluarga pelajar yang memerlukan,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.