
KOTA BHARU, 22 Jun – Lebih 2,000 penduduk di Mukim Parit Tengah, Salor, Kota Bharu kini dapat menarik nafas lega apabila urusan pengurusan jenazah di kawasan itu dipermudahkan menerusi sumbangan sebuah van jenazah baharu oleh Etiqa Takaful dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).
- Pihak masjid dan penduduk amat bersyukur; van jenazah baharu memudahkan urusan pengurusan jenazah.
- Sebelum ini masjid sering hadapi masalah van rosak dan terpaksa mendapatkan bantuan dari mukim lain.
- Sumbangan Etiqa Takaful dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat berdasarkan keperluan kariah.
Menurut Imam Tua Masjid Al-Azim, Zakaria Mat Zin, pihak masjid sebelum ini berdepan pelbagai kesukaran termasuk insiden van jenazah rosak ketika dalam perjalanan membawa mayat ke tanah perkuburan.
Pernah berlaku satu kejadian apabila van jenazah mengalami masalah ketika sedang membawa jenazah. Kami terpaksa mendapatkan bantuan van jenazah dari mukim lain untuk meneruskan perkhidmatan tersebut.
“Sebab itu, apabila menerima van baharu ini, kami amat bersyukur dan gembira kerana tidak perlu lagi menunggu lama seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui RTM di sini.
Kemudahan baharu itu amat diperlukan memandangkan mukim berkenaan mempunyai tiga tanah perkuburan utama iaitu Kubur Tok Jebak,
Kubur Jenereh dan Kubur Keladang yang terletak pada jarak berbeza dari masjid.
Sumbangan berkenaan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim bagi membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah di kawasan berkenaan.
Penyerahan van jenazah berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat bagi membantu komuniti yang memerlukan.
Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak empat buah van jenazah telah diserahkan di seluruh negara melibatkan peruntukan melebihi RM500,000.
“Kita akan mempertimbangkan setiap permohonan van jenazah berdasarkan jumlah kariah di sesuatu mukim.
“Jika kawasan itu masih belum mempunyai van jenazah, kita akan meneliti keperluannya dan menyediakan kemudahan tersebut kepada masjid-masjid yang membuat permohonan,” katanya.
Sumbangan itu juga diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta memudahkan urusan pengurusan jenazah dengan lebih lancar pada masa hadapan.