
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 berjaya mencapai semua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
- Kajian impak menunjukkan peningkatan positif dalam enam elemen utama pembentukan modal insan selepas peserta mengikuti latihan.
- Setiap pelatih wajib mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus pencapaian dalam enam elemen utama.
- Pengetahuan ketenteraan menunjukkan peningkatan paling ketara dan semangat kesukarelawanan turut meningkat.
- KPI diukur melalui kaji selidik sebelum dan selepas latihan dengan kerjasama UMS dan UPNM.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kajian impak menunjukkan peningkatan positif dalam enam elemen utama pembentukan modal insan selepas peserta mengikuti latihan.
Secara keseluruhannya objektif dan KPI yang ditetapkan telah dicapai di semua latihan PLKN 3.0 dan semua indikator menunjukkan peningkatan yang positif berdasarkan dapatan kajian bagi siri kedua tahun ini.
Menurut beliau, setiap pelatih dikehendaki mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus pencapaian dalam enam elemen utama, iaitu patriotisme, perpaduan, disiplin dan transformasi diri, ketahanan mental dan kesiapsiagaan, pengetahuan ketenteraan serta semangat kesukarelawanan.
“Pengetahuan ketenteraan menunjukkan peningkatan paling ketara apabila meningkat daripada 56 peratus sebelum latihan kepada 84 peratus selepas latihan, iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus, sementara semangat kesukarelawanan meningkat daripada 75 peratus kepada 83 peratus.
“Tahap patriotisme peserta pula meningkat daripada 82 peratus kepada 88.98 peratus selepas latihan, skor perpaduan meningkat sebanyak sembilan peratus, aspek disiplin dan transformasi diri meningkat daripada 77.36 peratus kepada 92.6 peratus, manakala ketahanan mental meningkat daripada 71 peratus kepada 83 peratus,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
KPI itu dilaksanakan menerusi kaji selidik dan kajian impak sebelum dan selepas latihan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).