Kesihatan mental: Beban ekonomi dijangka cecah RM25.3bil pada 2030

Foto KKM

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Beban ekonomi akibat masalah kesihatan mental di Malaysia dijangka mencecah sebanyak RM25.3 bilion pada 2030 jika tiada tindakan berkesan dilaksanakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesihatan mental bukan hanya isu rawatan, tetapi juga menjejaskan produktiviti dan pembangunan sosioekonomi negara.
  • Kadar kemurungan dewasa meningkat kepada 4.6% pada 2023, kira-kira satu juta orang terkesan dengan isu kesihatan mental.
  • Masalah kesihatan mental kanak-kanak meningkat daripada 7.9% kepada 16.5%, remaja 13-17: satu daripada empat mengalami kemurungan.
  • Jawatankuasa mengemukakan 12 syor termasuk perluas kapasiti talian krisis, kempen antistigma besar-besaran dan perketat etika pelaporan media.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen, Suhaizan Kaiat berkata angka itu menunjukkan isu kesihatan mental bukan lagi sekadar masalah klinikal, malah turut menjejaskan produktiviti dan pembangunan sosioekonomi negara.

“Angka ini menunjukkan bahawa kesihatan mental bukan sahaja isu rawatan tetapi juga isu ekonomi, produktiviti dan masa depan negara yang kita cintai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Penyata DR.4 2026 mengenai Pengukuhan Sistem Kesihatan Mental di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Suhaizan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata data terkini menunjukkan peningkatan kes kemurungan yang membimbangkan dalam kalangan golongan dewasa di negara ini, manakala kanak-kanak dan remaja turut mencatatkan trend peningkatan kes yang semakin kritikal.

Beliau berkata kadar kemurungan dalam kalangan penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas meningkat daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 4.6 peratus pada 2023 bersamaan kira-kira satu juta orang telah terkesan dengan isu kesihatan mental.

“Dalam kalangan kanak-kanak pula, masalah kesihatan mental meningkat daripada 7.9 peratus kepada 16.5 peratus bagi tempoh sama.

“Bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun pula, satu daripada empat remaja mengalami kemurungan. Ini bukan sekadar angka tetapi gambaran tekanan sedang dihadapi generasi muda negara kita,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, jawatankuasa berkenaan mengemukakan 12 syor strategik bagi memperkukuh sistem sokongan kesihatan mental.

Katanya, antara cadangan utama ialah memperluas kapasiti talian bantuan krisis, melaksanakan kempen antistigma secara besar-besaran dan memperketat etika pelaporan media.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.