
ARAU, 22 Jun – Peningkatan minat anak muda terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencerminkan keyakinan yang semakin tinggi terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh politeknik dan kolej komuniti.
- KSU Datuk Dr Aminuddin Hassim tekankan kebolehpasaran graduan TVET dan penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi memenuhi keperluan industri serta pembangunan negara.
- KPT memastikan institusi TVET menyediakan akses pendidikan berkualiti, kemudahan selesa dan pengalaman pembelajaran terbaik selaras aspirasi Malaysia MADANI.
- Lawatan meninjau kelancaran pendaftaran 1,100 pelajar baharu sesi pertama 2026/2027 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.
- PTSS kini mempunyai 3,592 penuntut: 3,483 pelajar diploma dan sijil serta 109 pelajar Program Asasi TVET.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata kepercayaan ini turut didorong oleh kebolehpasaran graduan yang kompetitif serta keupayaan institusi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara.
“Pihak kami sentiasa memastikan institusi TVET negara sentiasa bersedia menyediakan akses pendidikan berkualiti, kemudahan yang selesa serta pengalaman pembelajaran terbaik kepada pelajar selaras aspirasi Malaysia MADANI dan agenda pemerkasaan TVET negara,” katanya.
Beliau ditemui media ketika meninjau sesi pendaftaran melibatkan 1,100 pelajar baharu sesi pertama 2026/2027 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah dan Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Khairul Anuar Ishak.
Lawatan berkenaan bertujuan meninjau kelancaran proses pendaftaran pelajar baharu, kesiapsiagaan kemudahan kampus serta kebajikan pelajar yang memulakan pengajian di PTSS.
PTSS kini mempunyai seramai 3,592 penuntut terdiri daripada 3,483 pelajar diploma dan sijil serta 109 pelajar Program Asasi TVET.