
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Kerajaan melalui Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang bakal memperkenalkan New Bar Course (NBC) sebagai pengganti kepada Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) bagi meningkatkan kualiti latihan dan kemahiran bakal peguam di negara ini.
- Kajian kurikulum NBC selesai pada 31 Mac oleh pasukan petugas khas Lembaga Kelayakan.
- NBC terdiri daripada Conversion Course dan Legal Practice Postgraduate Certificate (LPPC).
- Pasukan Petugas NBC ditubuhkan, bina rangka operasi, dijangka siap menjelang April 2027; melibatkan penanda aras dan libat urus pihak berkepentingan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata kajian kurikulum NBC telah siap sepenuhnya pada 31 Mac lalu oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan Lembaga Kelayakan.
Menurut beliau, NBC akan melibatkan dua komponen utama iaitu Conversion Course dan Legal Practice Postgraduate Certificate (LPPC).
“Ini merupakan program peralihan bagi bukan orang berkelayakan dari luar negara yang memerlukan pengenalan berstruktur mengenai sistem perundangan Malaysia termasuk undang-undang substantif teras,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Kelayakan turut menubuhkan Pasukan Petugas NBC pada April lalu bagi membangunkan kerangka operasi kursus baharu itu yang dijadualkan siap menjelang April 2027.
Pada masa sama, kajian penambahbaikan laluan kerani berartikel sedang dilaksanakan.
“Kajian tersebut melibatkan penanda aras dengan 10 negara serta sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk Badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam,” jelas beliau.
Katanya, inisiatif itu dijangka memperkukuh sistem latihan perundangan negara serta melahirkan peguam lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran profesion guaman moden.