
PUTRAJAYA, 22 Jun – Durian dan nangka yang dibawa khas dari Bangladesh menjadi pencuci mulut istimewa dihidangkan pada jamuan tengah hari dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk rakan sejawatannya dari Bangladesh, Tarique Rahman di Kompleks Seri Perdana, hari ini.
- Beliau diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Tarique tiba semalam untuk lawatan rasmi dua hari selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada Februari lalu.
- Wisma Putra menyatakan lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh.
- Bangladesh rakan dagang ke-28 peringkat global dengan perdagangan RM12.18 bilion, kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan selepas India.
Kedua-dua pemimpin tiba pada pukul 11:50 pagi menaiki kenderaan sama disambut dengan laungan “Selamat Datang ke Malaysia” oleh pelajar dari Sekolah Kebangsaan Presint 8(2), Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Dengkil, SMK Agama Sungai Merab, Sekolah Menengah Sains Selangor dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.
Selain itu, sekumpulan penari dari Istana Budaya turut sama membuat persembahan bagi meraikan delegasi dari Bangladesh itu.
Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Terdahulu, beliau diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Datuk Seri Anwar.
Tarique dan delegasi tiba semalam bagi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari selepas memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada Februari lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, lawatan beliau memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar negara di peringkat global dengan jumlah perdagangan sebanyak RM12.18 bilion.
Negara itu juga merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan selepas India, selain menjadi destinasi eksport dan sumber import kedua terbesar Malaysia di rantau tersebut.