
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memastikan pelaksanaan inisiatif dalam Belanjawan 2027 khususnya meringankan kos sara hidup dan memperkukuh perlindungan pengguna.
- Peruntukan RM750 juta untuk 35,000 siri Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI bagi membantu pengguna serta peniaga kecil.
- Peruntukan RM1.1 bilion bagi memperkukuh operasi SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC untuk membendung ketirisan.
- Peruntukan RM250 juta untuk perluasan pengedaran barangan asas ke pedalaman dan RM10 juta bagi promosi Jom Beli Produk Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menerusi hantaran Facebook memaklumkan, kementerian itu menyambut baik peruntukan dan inisiatif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
“KPDN menyambut baik peruntukan dan inisiatif ini bagi memperkukuh usaha menangani kos sara hidup, membendung ketirisan melalui penguatkuasaan yang lebih berkesan serta memperkasa perlindungan pengguna,” menurut hantaran itu.
Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan peruntukkan RM750 juta bagi melaksanakan 35,000 siri Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI di seluruh negara pada 2027.
Jumlah itu merangkumi 30,000 siri Jualan Rahmah MADANI kendalian KPDN serta 5,000 siri Jualan Agro MADANI di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Program Jualan Rahmah MADANI juga akan diperluas ke kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR), selain membantu peniaga kecil.
Manakala sebanyak RM1.1 bilion diperuntuk bagi memperkukuh keupayaan operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Potongan cukai juga akan diberikan kepada penderma makanan dan peralatan kepada Ihsan Food Bank (i-FB) dari 2027 hingga 2030.
Selain itu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan pedalaman termasuk enam lokasi baharu antaranya Sabah di Kampung Terian, Penampang dan Sarawak di Kampung Dato’ Gudam, Pusa.
RM10 juta pula untuk meneruskan inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) bagi memasarkan produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke pasaran digital serta antarabangsa.