Belanjawan 2027: Perkukuh perkhidmatan kesihatan awam negara

Hospital Sulatanah Aminah, Johor Bahru./ FB HSA

JOHOR BAHRU, 9 Oktober – Inisiatif menawarkan jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak serta peruntukan RM1.2 bilion bagi membaik pulih dan menyelenggara prasarana hospital dijangka membantu memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menawarkan jawatan tetap kepada doktor kontrak untuk mengekalkan tenaga perubatan tempatan dan mengurangkan kecenderungan mencari kerja di luar negara.
  • Pembinaan Kompleks Klinik Pakar dan Pusat Rawatan Harian di HSA meningkatkan kemudahan rawatan serta kapasiti rujukan bagi penduduk kawasan berkembang.
  • Peruntukan bagi baik pulih dan penyelenggaraan prasarana hospital meningkatkan keselesaan pesakit termasuk warga emas dan orang kurang upaya.

Langkah menawarkan jawatan tetap kepada doktor kontrak dilihat dapat membantu mengekalkan tenaga perubatan tempatan dalam negara, sekali gus mengurangkan kecenderungan mereka untuk mencari peluang pekerjaan di Singapura.

Inisiatif itu juga penting dalam menangani isu kekurangan doktor yang dihadapi beberapa hospital kerajaan.

Selain itu, pembinaan Kompleks Klinik Pakar dan Pusat Rawatan Harian di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, dijangka meningkatkan kemudahan rawatan kepada penduduk, khususnya di kawasan yang semakin pesat membangun.

Penjawat awam, Mohammad Izwandi Muharrudin, berkata penambahbaikan kemudahan kesihatan itu merupakan perkembangan positif, terutama bagi penduduk yang mendapatkan rawatan di HSA.

“HSA menjadi antara hospital yang dirujuk penduduk setempat untuk mendapatkan rawatan, termasuk bagi ahli keluarga,” katanya kepada pemberita RTM.

Sementara itu, seorang lagi penjawat awam, Norhani Mohamed Rashid, berkata pembinaan kompleks berkenaan penting bagi meningkatkan kemudahan rawatan kepada rakyat Johor.

“HSA bukan sahaja menjadi tumpuan pesakit sekitar Johor Bahru, malah turut berperanan sebagai pusat rujukan bagi pesakit dari daerah lain,” katanya.

Dalam pada itu, peruntukan RM1.2 bilion bagi kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan prasarana hospital dijangka membantu meningkatkan keselesaan pesakit ketika mendapatkan rawatan.

Penambahbaikan berkenaan turut memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan perhatian khusus, termasuk warga emas dan orang kurang upaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.