
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian dalam Belanjawan 2027 disambut baik.
- Inisiatif latihan dan penempatan: 30,000 peluang pekerjaan, latihan robotik dan digital untuk 10,000 belia, serta 1,000 penempatan bumiputera melalui MARA.
- Cadangan tambahkan peruntukan PTPK dari RM500 juta kepada RM1 bilion untuk jadikan TVET pendidikan arus perdana dan kawalan mutu lebih jelas.
- Pengiktirafan kemahiran mesti terjemah kepada gaji setimpal, peluang kerjaya dan perlindungan pekerjaan; kenaikan gaji minimum kepada RM2,500 beri harapan.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohamad Rizan Hassan berkata, ia membuktikan komitmen tinggi Kerajaan MADANI terhadap masa depan golongan belia di negara ini.
“Sasaran 30,000 peluang pekerjaan menerusi Bakat MADANI, latihan robotik dan digital untuk 10,000 belia melalui CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia), latihan dan penempatan bagi 1,000 belia bumiputera menerusi MARA (Majlis Amanah Rakyat) menunjukkan perubahan yang positif.
“Peruntukan MITRA (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia) sebanyak RM150 juta dengan keutamaan kepada latihan dan pekerjaan turut membuka ruang memperluas penyertaan anak muda dalam bidang bernilai tinggi,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan inisiatif itu perlu diukur berdasarkan kehidupan golongan belia berkenaan sama ada mereka benar-benar kompeten dan bersedia untuk bersaing di pasaran kerja.
Beliau berpendapat, jumlah dana sebanyak RM500 juta yang diperuntukkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) itu perlu ditambah bagi menampung perbelanjaan serta keperluan latihan golongan berkenaan.
“Kerajaan perlu menambah jumlah peruntukan sehingga RM1 bilion untuk menjadikan TVET sebagai pendidikan arus perdana disertai sasaran penerima kawalan mutu serta pemantauan yang lebih jelas.
“Belia daripada keluarga berpendapatan rendah memerlukan pembiayaan untuk merealisasikan pilihan mereka. Minat dan kesungguhan sahaja tidak membayar yuran penginapan pengangkutan serta keperluan sepanjang latihan,” katanya.
Mohamad Rizan turut menyarankan agar akses kepada program TVET diperluas kepada lebih ramai belia yang layak di institusi awam dan swasta, khususnya dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi dalam industri.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan gaji minimum daripada RM2,000 kepada RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, seperti dinyatakan dalam pengumuman berkenaan memberi harapan besar kepada lepasan TVET, termasuk pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
Tegasnya, pengiktirafan terhadap bidang kemahiran perlu diterjemahkan melalui pendapatan yang setimpal, peluang pembangunan kerjaya serta perlindungan pekerjaan yang sewajarnya bagi memastikan bidang berkenaan terus relevan dan mempunyai masa depan yang mampan dalam pasaran kerja.