Subsidi diesel RM2.10 mulai Julai legakan rakyat

Foto Janaan AI

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pengumuman harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bermula Julai depan disambut baik oleh rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga kecil dan pengguna diesel menyambut baik penurunan harga kerana ia melegakan kos operasi dan perniagaan.
  • Harapan dikemukakan agar harga barangan mentah dikawal supaya tidak terus membebankan pengguna.
  • Penggunaan MyKad melalui BUDI MADANI memudahkan penyampaian subsidi dan mengurangkan beban peniaga kecil.
  • Subsidi disasarkan secara seragam di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

Khususnya golongan peniaga kecil dan pengguna kenderaan diesel yang selama ini terkesan dengan peningkatan kos operasi.

Seorang peniaga, Amri Ramli, menyifatkan penurunan harga diesel itu sebagai kelegaan besar memandangkan kos barangan mentah sering meningkat setiap kali berlaku kenaikan harga bahan api.

“Sebagai rakyat, kita memang menyambut baik apabila harga turun. Cuma harapan kita, apabila diesel turun, harga barang mentah juga dapat dikawal supaya tidak terus membebankan pengguna,” katanya ketika ditemui.

Pandangan sama turut dikongsi peniaga air, Zairi Nawi, yang mengendalikan perniagaan menggunakan food truck. Menurut beliau, kos bahan api sebelum ini mencecah sehingga RM200 seminggu berbanding sekitar RM100 sebelum kenaikan harga.

“Penggunaan MyKad untuk subsidi ini sangat membantu. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban peniaga kecil seperti saya yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan untuk mendapatkan bekalan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelaksanaan mekanisme berasaskan MyKad melalui program BUDI MADANI turut dilihat berkesan dalam menangani isu ketirisan serta penyeludupan diesel kepada pihak tidak layak termasuk warga asing.

Seorang lagi peniaga, Hamdi Soleh, menyifatkan langkah tersebut sebagai wajar dan seimbang antara keperluan rakyat dan kawalan kerajaan.

“Saya rasa langkah ini bagus. Mungkin sebelum ini harga dinaikkan untuk kekang penyalahgunaan. Bila diturunkan semula untuk rakyat, kita memang bersyukur,” katanya.

Menerusi pembaharuan ini, Kementerian Kewangan memaklumkan penyasaran subsidi secara seragam akan dilaksanakan di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.