
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Dana Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) akan ditingkatkan kepada RM270 juta, selain menyediakan RM65 juta bagi menyokong kira-kira 2,500 renjer komuniti dalam usaha memperkukuh pemuliharaan khazanah alam dan biodiversiti negara pada 2027.
- Kerajaan meningkatkan dana EFT untuk menggalakkan ekonomi komuniti, ekopelancongan dan memperkukuh perlindungan alam sekitar di peringkat negeri.
- Peruntukan tambahan dimanfaatkan untuk membina dan menyelenggara pos renjer, melibatkan komuniti termasuk Orang Asli, veteran tentera dan pesara polis.
- Malaysia mengekalkan hampir 18 juta hektar hutan, 54.4 peratus keluasan tanah, melepasi komitmen sekurang-kurangnya 50 peratus Rio 1992.
- Hampir 4,000 hektar hutan paya laut dan pesisiran dipulihkan melalui penanaman lebih 9.3 juta pokok bakau sehingga 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan peruntukan itu bertujuan menggalakkan aktiviti ekonomi dan ekopelancongan berasaskan komuniti, selain memperkukuh usaha perlindungan alam sekitar di peringkat negeri.
“Bagi mendukung usaha negeri memelihara khazanah alam, Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) akan ditambah kepada RM270 juta.
“Daripada peruntukan RM65 juta itu, sebahagiannya akan dimanfaatkan untuk membina dan menyelenggara pos renjer bagi tujuan rondaan, dengan penyertaan komuniti termasuk Orang Asli, veteran tentera dan pesara polis,” jelas Perdana Menteri.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia turut mengekalkan hampir 18 juta hektar kawasan berhutan, bersamaan 54.4 peratus daripada keluasan tanah negara, melepasi komitmen sekurang-kurangnya 50 peratus yang dinyatakan ketika Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.
Sehingga 2025, hampir 4,000 hektar hutan paya laut dan pesisiran pantai berjaya dipulihkan menerusi penanaman lebih 9.3 juta pokok bakau dan spesies bersesuaian.
Dalam usaha melindungi hidupan liar, RM15 juta daripada dana kutipan ses industri sawit akan dimanfaatkan bagi pemuliharaan alam, khususnya habitat spesies terancam seperti Harimau Malaya, Gajah Borneo dan orang utan.
Kerajaan turut memperkenalkan ikhtiar pembelian pukat lama bagi mengurangkan risiko pukat terbiar yang boleh membahayakan hidupan marin.
Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen, hari ini.