Harga minyak dunia turun hampir 4 peratus susulan rundingan damai AS-Iran

Foto REUTERS

HOUSTON, 23 Jun – Harga minyak mentah dunia menyusut hampir empat peratus pada Isnin berikutan kebimbangan pasaran terhadap gangguan bekalan global mulai mereda susulan perkembangan positif rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Minyak Brent turun AS$3.11 kepada AS$77.46 setong, manakala WTI Julai dan Ogos masing-masing jatuh kepada AS$74.53 dan US$73.37.
  • JD Vance mengesahkan kemajuan besar rundingan di Switzerland dan menegaskan Selat Hormuz kini kekal dibuka untuk kapal tangki.
  • Pihak Washington dan Tehran selesai pusingan pertama rundingan rasmi di Switzerland bawah MoU untuk lanjutan gencatan senjata sekurang-kurangnya 60 hari.
  • Jabatan Perbendaharaan AS keluarkan lesen am membolehkan jualan minyak dan produk petroleum Iran sehingga 21 Ogos, membolehkan eksport disambung semula.

Harga minyak mentah Brent menyusut AS$3.11 atau 3.86 peratus kepada AS$77.46 setong.

Manakala kontrak hadapan minyak AS West Texas Intermediate (WTI) bagi serahan Julai turut menyusut AS$2.07 kepada AS$74.53 setong.

Bagi kontrak Ogos yang lebih aktif, harga komoditi itu mengalami kerugian AS$2.48 atau 3.27 peratus kepada US$73.37 setong.

Kejatuhan itu didorong oleh kenyataan Naib Presiden AS JD Vance yang mengesahkan kemajuan signifikan dicapai dalam rundingan di Switzerland, selain jaminan bahawa laluan strategik Selat Hormuz kini kekal dibuka untuk transit kapal tangki.

Sebelum ini, pasaran mencatatkan lonjakan awal sehingga mencecah AS$82.30 setong ekoran amaran Presiden AS Donald Trump untuk menyambung semula serangan terhadap Iran, selain pengumuman Tehran yang menutup seketika selat berkenaan.

Sementara itu, penganalisis komoditi UBS Giovanni Staunovo berkata, pelepasan sekatan maritim itu membolehkan Iran meneruskan semula eksport minyaknya yang tersekat awal bulan ini.

Kemasukan semula bekalan berkenaan dilihat pasaran sebagai bekalan tambahan yang mengimbangkan jurang permintaan.

Terdahulu, pegawai kanan dari Washington dan Tehran dilaporkan telah menyelesaikan pusingan pertama rundingan rasmi mereka di Switzerland yang bermula sejak Ahad, di bawah terma memorandum persefahaman (MoU) untuk melanjutkan gencatan senjata bagi tempoh sekurang-kurangnya 60 hari lagi.

Rentetan perkembangan itu, Jabatan Perbendaharaan AS bertindak mengeluarkan lesen am yang membenarkan penjualan minyak mentah, petrokimia, dan produk petroleum Iran beroperasi semula sehingga 21 Ogos depan.  – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.