
KUALA LUMPUR, 22 Jun– Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menggantung sementara lapan anggota pasukan kebangsaan Thailand daripada semua aktiviti rasmi sepak takraw bawah badan itu.
- Prosiding disiplin dibuka berikutan insiden di perlawanan akhir TM ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026 pada 24 Mei.
- Setiap responden diberi 14 hari untuk jawapan bertulis sebelum kes disambung ke peringkat pendengaran disiplin.
- Arahan interim melarang responden terlibat dalam semua aktiviti rasmi ISTAF sehingga prosiding selesai; langkah pencegahan bukan penentuan bersalah.
ISTAF dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mereka terdiri daripada lima pemain, dua jurulatih dan seorang pengurus pasukan.
Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Disiplin selepas meneliti laporan serta maklumat berkaitan insiden yang berlaku pada perlawanan akhir TM ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026, 24 Mei lalu.
Lima pemain yang terlibat ialah Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Phutawan Sopa, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart.
Turut dikenakan arahan interim ialah dua jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Narachit Kalachan dan Sahachat Sakhoncharoen.
Seorang pengurus pasukan kebangsaan Thailand turut dikenakan tindakan sama.
“Prosiding disiplin itu membabitkan dakwaan anggota Regu Ketiga Thailand enggan meneruskan perlawanan walaupun diarahkan berbuat demikian oleh pegawai perlawanan.
Notis prosiding disiplin dan surat pertuduhan telah disampaikan secara rasmi melalui Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT),” menurut kenyataan itu.
ISTAF memaklumkan, setiap responden diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan jawapan bertulis.
Selepas itu, kes akan diteruskan ke peringkat pendengaran disiplin.
Menerusi arahan interim berkenaan, semua responden dilarang menyertai, mengadili, melatih, mengurus atau terlibat dalam sebarang pertandingan, kejohanan dan aktiviti rasmi yang diiktiraf ISTAF.
Larangan itu berkuat kuasa sehingga prosiding disiplin selesai.
Sementara itu, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, sepak takraw dibina atas nilai hormat, disiplin, semangat kesukanan dan integriti.
Beliau menegaskan, prinsip itu perlu dijunjung oleh setiap pemain, jurulatih serta pegawai pasukan.
“Permulaan prosiding disiplin ini mencerminkan komitmen ISTAF untuk melindungi integriti pertandingan yang dianjurkannya.
Pada masa sama memastikan setiap responden menerima perbicaraan yang adil dan tidak berat sebelah selaras dengan Peraturan Disiplin kami,” katanya.
Beliau menegaskan arahan interim itu merupakan langkah pentadbiran bersifat pencegahan bagi memastikan integriti proses disiplin dan kelancaran pengurusan pertandingan terus terpelihara.
Menurutnya, arahan tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai dapatan bahawa mana-mana responden telah bersalah.
ISTAF turut menegaskan semua responden akan diberi peluang sepenuhnya untuk membela diri selaras dengan Peraturan Disiplin ISTAF dan prinsip keadilan asasi.