FIFA 2026: Mesir optimis lakar sejarah lebih besar selepas tewaskan New Zealand

Mohamed Salah, Kapten Mesir / REUTERS

VANCOUVER, 22 Jun– Mohamed Salah menyifatkan kemenangan 3-1 Mesir ke atas New Zealand sebagai pencapaian bersejarah buat pasukan itu di pentas Piala Dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohamed Salah menjaringkan satu gol dan membantu satu lagi untuk memastikan kemenangan pertama Mesir di Piala Dunia.
  • Salah menyeru pemain terus berjuang, berpeluang melakar sejarah lebih besar dengan menamatkan Kumpulan G sebagai juara.
  • Jurulatih New Zealand kecewa; mereka perlu tewaskan Belgium dalam perlawanan terakhir untuk terus berpeluang mara.

Kapten Mesir itu memainkan peranan penting apabila menjaringkan satu gol dan membantu satu lagi jaringan untuk memastikan negaranya meraih kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan di kejohanan berkenaan.

“Ia satu perasaan yang hebat buat kami semua. Ini satu pencapaian besar.

Kami sentiasa mahu memberikan kegembiraan kepada rakyat Mesir dan saya percaya mereka berasa bangga dengan pasukan ini,” katanya.

Menurut Salah, kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan pemain untuk mencipta sesuatu yang istimewa buat negara mereka.

Jelas beliau, pemain turut diingatkan bahawa mereka berpeluang melakar sejarah lebih besar sekiranya berjaya menamatkan saingan Kumpulan G sebagai juara.

“Hari ini adalah hari yang sangat istimewa kerana ini kemenangan pertama kami di Piala Dunia.

Saya beritahu pemain bahawa kami berpeluang mencipta sejarah dan ia akan dikenang untuk tempoh yang lama,” ujarnya lagi.

Kemenangan itu meletakkan Mesir di tangga teratas Kumpulan G dengan empat mata selepas seri 1-1 dengan Belgium dalam perlawanan pembukaan.

Sementara itu, jurulatih New Zealand, Darren Bazeley mengakui kecewa dengan kekalahan tersebut selepas pasukannya mendahului dan menguasai permainan pada babak pertama.

“Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan mencipta banyak peluang.

Namun kami gagal mengekalkan tempo serta kualiti permainan selepas rehat dan Mesir mengambil kesempatan itu,” katanya.

New Zealand kini perlu menewaskan Belgium dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.