
INGLEWOOD, 22 Jun– Ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei menyifatkan permulaan tanpa kalah pasukannya di Piala Dunia FIFA 2026 sebagai pencapaian yang akan dikenang dalam sejarah bola sepak negara itu.
- Iran mengutip dua mata daripada dua perlawanan meskipun menghadapi cabaran sejak enam bulan lalu.
- Liga domestik terjejas akibat konflik; persiapan terganggu oleh masalah perjalanan dan pembatalan perlawanan persahabatan.
- Ghalenoei memuji Alireza Beiranvand; dianggap antara penjaga gol terbaik sejarah bola sepak Iran.
- Iran seri 0-0 dengan Belgium selepas seri 2-2 lawan New Zealand; Belgium kuasai permainan tetapi gagal tembus pertahanan Iran.
Beliau berkata, kejayaan mengutip dua mata daripada dua perlawanan hadir dalam keadaan sukar selepas pasukan berdepan pelbagai cabaran sejak enam bulan lalu.
Menurutnya, saingan liga domestik terjejas akibat konflik yang berlaku.
Malah, persiapan pasukan turut terganggu susulan masalah perjalanan dan pembatalan beberapa perlawanan persahabatan.
“Kami datang ke Piala Dunia dalam keadaan yang sangat sukar. Namun pemain menunjukkan semangat luar biasa dan berjaya mengharungi dua perlawanan tanpa kalah.
Ia satu pencapaian besar yang akan dikenang dalam sejarah bola sepak Iran,” katanya selepas aksi menentang Belgium.
Ghalenoei turut memuji persembahan penjaga gol berpengalaman, Alireza Beiranvand yang cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan.
Beliau menyifatkan Beiranvand sebagai antara penjaga gol terbaik dalam sejarah bola sepak Iran.
Dalam perlawanan tersebut, Iran mengikat Belgium 0-0 dalam aksi Kumpulan G selepas seri 2-2 dengan New Zealand sebelum itu.
Belgium yang beraksi dengan 10 pemain menguasai sebahagian besar permainan namun gagal menembusi benteng pertahanan Iran.
Sementara itu, jurulatih Belgium, Rudi Garcia mengakui pasukannya kehilangan dua mata berharga dalam usaha memburu slot ke pusingan seterusnya.
Menurutnya, Belgium kini perlu memberi tumpuan penuh kepada perlawanan menentang New Zealand bagi menghidupkan peluang mara dari Kumpulan G.
“Kami perlu kekal tenang, pulih dengan baik dan memenangi perlawanan seterusnya,” katanya. -REUTERS