
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang terus menyokong ekonomi negara apabila kedua-duanya menyumbang sebanyak 23.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025 dengan nilai RM476.8 bilion.
- Keseluruhan sektor ICT dan e-dagang mencatat pertumbuhan 5.6 peratus, mencerminkan perkembangan berterusan aktiviti ekonomi berkaitan ICT.
- Industri ICT menjana RM288.1 bilion, perkhidmatan 40.3 peratus dan pembuatan 38.2 peratus, dengan pertumbuhan 7.6 dan 6.4 peratus.
- E-dagang bernilai RM267.6 bilion, menyumbang 13.2 peratus ekonomi, disokong pembuatan 50.5 peratus dan perkhidmatan 47 peratus.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi keseluruhan ICT dan e-dagang mencatat pertumbuhan 5.6 peratus berbanding 5.2 peratus pada tahun sebelumnya, sekaligus mencerminkan perkembangan berterusan aktiviti ekonomi berkaitan ICT.
“Industri ICT menjana nilai sebanyak RM288.1 bilion pada tahun 2025, dengan perkhidmatan ICT mencatatkan sumbangan terbesar iaitu 40.3 peratus, diikuti oleh pembuatan ICT sebanyak 38.2 peratus. Kedua-dua industri masing-masing mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus dan 6.4 peratus,”
“Sementara itu, baki 21.5 peratus disumbangkan oleh perdagangan ICT sebanyak 15.3 peratus dan industri kandungan dan media berjumlah 6.2 peratus,” katanya dalam laporan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA) 2025 hari ini.
Menurut laporan itu, pertumhuhan e-dagang pula mencatatkan nilai sebanyak RM267.6 bilion, bersamaan 13.2 peratus daripada ekonomi negara.
Pertumbuhan itu disokong oleh sektor pembuatan yang menyumbang 50.5 peratus dan sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 47 peratus, seterusnya menunjukkan pertumbuhan berterusan kepada 7.2 peratus berbanding 5.1 peratus pada tahun sebelumnya.
“Dari segi perdagangan luaran, eksport produk ICT meningkat 14.8 peratus kepada RM513.6 bilion pada 2025,
manakala import melonjak 24.2 peratus kepada RM405.3 bilion, menghasilkan lebihan eksport bersih sebanyak RM108.3 bilion,” jelas DOSM.
Jelas DOSM, guna tenaga dalam industri ICT turut meningkat 1.1 peratus kepada 1.27 juta orang, merangkumi 7.6 peratus daripada jumlah guna tenaga di Malaysia.
##