
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Laporan awal siasatan nahas helikopter yang mengorbankan lima individu di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September lalu dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.
- BSKU mendapati juruterbang BO-105 memiliki lesen penerbangan dan sijil perubatan sah serta berkelayakan mengendalikan penerbangan itu.
- Helikopter 9M-LLF mempunyai perakuan pendaftaran dan kelayakan terbang sah semasa berlepas.
- Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca; laporan akhir perlu disediakan dalam tempoh setahun dari tarikh kejadian.
- Audit terhadap Layang-Layang Aerospace catat tiga penemuan dan tiga pemerhatian; semua ditutup kecuali satu berkaitan pengiraan tenaga kerja menunggu pengesahan CAAM.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati juruterbang helikopter jenis BO-105 itu memiliki lesen penerbangan dan sijil perubatan yang sah serta berkelayakan mengendalikan penerbangan berkenaan.
Helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLF milik Layang-Layang Aerospace Sdn. Bhd. itu juga mempunyai perakuan pendaftaran dan kelayakan terbang yang sah ketika berlepas.
Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kemalangan, manakala laporan akhir perlu disediakan dalam tempoh setahun dari tarikh kejadian.
Beliau berkata, audit terhadap organisasi penyelenggaraan Layang-Layang Aerospace merekodkan tiga penemuan audit dan tiga pemerhatian.
“Penemuan audit meliputi kaedah pengiraan dan perancangan tenaga kerja, rekod serahan tugas penyelenggaraan yang tidak jelas berkaitan pemeriksaan berjadual serta prosedur kesinambungan operasi selepas kecemasan yang tidak didokumenkan dengan secukupnya dalam manual Sistem Pengurusan Keselamatan (SMS) dan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP).
“Semua penemuan audit telah ditutup kecuali satu berkaitan penyeragaman pengiraan tenaga kerja yang masih menunggu pengesahan akhir Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ketika kemalangan berlaku,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri, pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Anthony berkata, penemuan audit berkenaan bersifat organisasi dan tidak berkaitan secara langsung dengan keadaan teknikal helikopter 9M-LLF atau sistem pesawat yang terlibat dalam nahas.
Susulan kejadian itu, CAAM turut menjalankan pemeriksaan pengesahan terhadap helikopter BO-105 lain yang terjejas pada 9 dan 10 September, selain pesawat lain yang menggunakan enjin Rolls-Royce RR250 dari 10 hingga 12 September.
Hasil pemeriksaan mendapati pematuhan terhadap keperluan penyelenggaraan berjadual dan arahan kelayakan terbang adalah memuaskan.
CAAM hanya membenarkan pesawat terbabit kembali beroperasi selepas semua pemeriksaan dan tindakan pembetulan yang diperlukan selesai dilaksanakan serta kelayakan terbangnya disahkan.