
KUALA LUMPUR, 15 Oktober -Hampir lapan juta isi rumah domestik di Semenanjung atau 90 peratus daripada keseluruhan pengguna dilindungi daripada pelarasan tertentu bil elektrik
hingga 31 Disember ini.
- Pengguna domestik dengan penggunaan hingga 800 kWh sebulan dikecualikan daripada pelarasan AFA, SST dan caj peruncitan.
- Anggaran bil bagi penggunaan 800 kWh sebulan adalah sekitar RM328.
- Kerajaan prihatin terhadap kenaikan bil akibat lonjakan harga bahan api, cuaca panas berpanjangan dan pengurangan kapasiti penjanaan.
- Pengguna di bawah 1,000 kWh juga layak menerima rebat melalui skim Insentif Cekap Tenaga bermula 1 Julai 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perlindungan itu meliputi pengguna yang merekodkan penggunaan elektrik 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan, bersamaan anggaran bil 328 ringgit ke bawah.
Pengguna yang memenuhi syarat berkenaan dikecualikan daripada pelarasan surcaj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta caj peruncitan.
Pengguna domestik yang merekodkan penggunaan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWh) sebulan, dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan surcaj, cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST).
“Langkah yang dilaksanakan kerajaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pengguna domestik, bersamaan 90 peratus daripada keseluruhan pengguna domestik di Semenanjung Malaysia,” beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, di Dewan Rakyat.
Kerajaan mengambil serius peningkatan bil elektrik yang dialami sesetengah pengguna domestik di Semenanjung, susulan beberapa faktor yang mempengaruhi kos bekalan elektrik.
Faktor yang dikenal pasti termasuklah, lonjakan harga bahan api di pasaran global akibat krisis geopolitik di Asia Barat, keadaan cuaca panas berpanjangan serta pengurangan kapasiti penjanaan di sebahagian loji jana kuasa.
Dalam pada itu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik di bawah 1,000 kWj sebulan turut layak menerima rebat menerusi skim Insentif Cekap Tenaga, yang diperkenalkan bawah penstrukturan tarif baharu berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.