MLS : Messi bantu Inter Miami ke ‘Playoff’

Foto AFP

MIAMI, 15 Oktober – Inter Miami mengesahkan tempat ke playoff Liga Bola Sepak Utama (MLS) selepas menewaskan New York City FC 2-0, dengan Lionel Messi memainkan peranan penting dalam kedua-dua jaringan pada babak pertama, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Messi menghasilkan gerakan yang membawa kepada gol pertama German Berterame pada minit ke-20.
  • Rodrigo De Paul menggandakan kelebihan melalui serangan balas pantas sebelum tamat babak pertama.
  • Berterame menamatkan kemarau jaringan sejak bulan Mei.
  • Kemenangan mengukuhkan kedudukan Miami di tangga kedua Persidangan Timur dan menjamin sekurang-kurangnya tiket wild card.

Messi mencipta gerakan yang membawa kepada gol pembukaan German Berterame pada minit ke-20 sebelum membantu Rodrigo De Paul menggandakan kelebihan Miami menerusi serangan balas pantas pada penghujung babak pertama.

Kemenangan itu memastikan Miami, yang menduduki tangga kedua Persidangan Timur, sekurang-kurangnya layak ke pusingan wild card dengan berbaki lima perlawanan dalam saingan musim ini.

Ia turut menyaksikan ketua jurulatih Cristian ‘Kily’ Gonzalez meraih kemenangan berturut-turut buat kali pertama sejak mengambil alih tugas itu bulan lepas.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Sudah tentu, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, tetapi kami semakin menunjukkan kemajuan sedikit demi sedikit,” kata Gonzalez.

Messi, yang meledak dua gol pada Sabtu selepas kembali menyertai kelab itu susulan majlis penghormatan bersama skuad kebangsaan Argentina minggu lepas, jelas menjadi ancaman kepada pertahanan lawan apabila terbabit dalam kedua-dua jaringan pada babak pertama.

Pada minit ke-20, Messi mengawal bola di luar kotak penalti sebelum menghantarnya kepada De Paul, yang kemudian melorongkan bola kepada Luis Suarez berhampiran garisan tepi padang.

Suarez melakukan hantaran rendah merentasi hadapan gawang untuk disudahkan Berterame dengan mudah, sekali gus menamatkan kemarau jaringan penyerang itu sejak Mei.

De Paul kemudian menggandakan kelebihan Miami menerusi serangan balas pantas dengan sentuhan terakhir babak pertama.

Berterame membawa bola melepasi garisan tengah sebelum melakukan hantaran yang kurang kemas, namun bola itu menemui Messi di sebelah kanannya.

Messi memperdaya tiga pemain pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran kepada De Paul, yang melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol lawan.

Tiada jaringan dihasilkan pada babak kedua, namun Messi hampir menambah gol apabila percubaan lencongnya dari luar kotak penalti tersasar melepasi palang.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-90, Messi melakukan sepakan penjuru pendek kepada De Paul, yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti ke arah gawang.

Bagaimanapun, penjaga gol pasukan kebangsaan Amerika Syarikat, Matt Freese, melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menepis bola berkenaan.

New York City FC, yang hanya mencatat satu kemenangan dalam 11 perlawanan terakhir MLS, berpeluang merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Namun, Dayne St. Clair menggagalkan peluang itu dengan menepis keluar sepakan rendah ke sebelah kanan gawang selepas Ian Fray menjatuhkan Talles Magno di dalam kotak penalti.

Kemenangan itu turut menyaksikan Miami mencatat rekod tanpa bolos untuk perlawanan kedua berturut-turut selepas gagal berbuat demikian dalam 10 aksi sebelumnya.

Dalam pada itu, Gonzalez memuji disiplin pertahanan pasukannya yang berjaya menyekat ancaman serangan balas lawan.

“Saya sangat berpuas hati dengan cara pemain kembali membentuk struktur pertahanan. Kami tidak mudah terperangkap dengan serangan balas dan bertindak agresif mematahkan gerakan lawan setiap kali mereka berpeluang melakukan peralihan pantas.

“Mungkin pergerakan bola kami agak perlahan pada beberapa ketika, tetapi itulah rentak permainan yang berlaku,” katanya.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Miami di tangga kedua Persidangan Timur di belakang Nashville, sekali gus meningkatkan peluang mereka menikmati kelebihan beraksi di laman sendiri sepanjang playoff. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.