GASTAK sasar emas SUKMA 2028 di gelanggang sendiri

Foto FB GASTAK

KOTA BHARU, 15 Oktober – Gabungan Sukan Takraw Kelantan (Gastak) menyasarkan pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang akan berlangsung di Kelantan, dengan pembangunan bakat tempatan menjadi antara keutamaan bagi merealisasikan misi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan kerajaan negeri dan perkembangan prestasi pemain dijangka memperkukuh sepak takraw Kelantan.
  • Gastak berusaha mendapatkan kembali pemain muda Kelantan yang kini beraksi di negeri lain untuk memperkuat barisan.
  • Kekangan kewangan sebelum ini memaksa pemain berhijrah ke negeri lain dengan kemudahan sekolah sukan lebih lengkap.
  • Kelantan Warriors diperkuat dua import Thailand serta pemain tempatan, menyasarkan kembali ke Liga Super musim depan.

Presidennya Mohamad Mohyddin Mohammed Nor berkata pihaknya yakin sokongan kerajaan negeri serta perkembangan positif prestasi pemain, mampu membantu memperkukuh sepak takraw Kelantan menjelang temasya berkenaan.

Beliau berkata Gastak turut berusaha mendapatkan semula pemain muda berbakat dari Kelantan yang kini beraksi di negeri lain, bagi memperkuat barisan pemain pada masa hadapan.

“Faktor kekangan kewangan sebelum ini menjadi punca beberapa pemain berbakat memilih untuk beraksi di negeri lain seperti Terengganu, yang mempunyai kemudahan sekolah sukan lebih lengkap. Namun, kami yakin dengan sokongan kerajaan negeri, Gastak mampu mengekalkan dan membangunkan bakat-bakat tempatan.

“Kami mempunyai misi untuk memperoleh pingat emas di tempat sendiri pada SUKMA 2028, yang mana Kelantan akan menjadi tuan rumah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Kelantan Warriors bagi Liga Sepak Takraw musim 2026/2027 di sini, malam tadi.

Mohamad Mohyddin berkata Kelantan Warriors turut diperkuatkan dengan dua pemain import dari Thailand, Thanarat Kheachawat dan Madlee Anda, serta pemain tempatan bagi menghadapi saingan STL musim ini.

Beliau berkata Gastak yakin barisan pemain yang ada mampu memberikan saingan kepada pasukan lain, selain menyasarkan Kelantan Warriors kembali beraksi dalam Liga Super musim depan.

– BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.