
RIO DE JANEIRO, 15 Oktober – Palmeiras membawa bekalan selesa selepas menang 2-1 pada aksi timbal separuh akhir pertama Piala Copa Libertadores selepas menewaskan Fluminense dalam perlawanan di Stadium Maracana, awal pagi tadi.
- Jose Manuel Lopez dan Maron Freitas menjaringkan gol, memberi kelebihan kepada Palmeiras.
- Wesley Nata menjaringkan tandukan lewat yang menghidupkan peluang Fluminense.
- Fluminense menguasai babak pertama namun gagal menukar peluang daripada Hulk, Nonato dan Canobbio menjadi gol.
- Aksi timbal balik di Sao Paulo menentukan kelayakan ke final di Estadio Centenario, Montevideo pada 28 November.
Jaringan Jose Manuel Lopez pada minit ke-45 dan Maron Freitas pada minit ke-85 memberi kelebihan kepada Palmeiras sebelum Wesley Nata merapatkan jurang menerusi tandukan pada penghujung perlawanan untuk menghidupkan peluang Fluminense.
Palmeiras akan menjadi tuan rumah bagi aksi timbal balik di Sao Paulo pada Rabu depan, dengan pemenang bakal mara ke pentas akhir yang dijadual berlangsung di Estadio Centenario, Montevideo pada 28 November depan.
Pada perlawanan berkenaan, pasukan tuan rumah, Fluminense dilihat menguasai permainan pada babak pertama, namun serangan balas pantas oleh Palmeiras membolehkan pasukan berkenaan mendahului 1-0 hasil jaringan Manuel Lopez.
Berdepan benteng pertahanan kukuh Palmeiras, peluang terbaik Fluminense hadir menerusi percubaan jarak jauh Hulk, Nonato dan Augustin Canobbio. Namun, masing-masing gagal menghasilkan jaringan.
Bermula babak kedua, Fluminese terus mengasak kubu Palmeiras, namun kekentalan pertahanan Palmeiras berjaya mengekang kebanyakan ancaman pasukan tuan rumah.
Penjaga gol veteran Fluminense, Fabio, berjaya menafikan percubaan Felipe Anderson pada minit ke-81, namun tidak mampu menghalang Palmeiras daripada menggandakan kelebihan menerusi Freitas pada minit ke-85.
Fluminese akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan oleh Nata pada penghujung perlawanan sekali gus menghidupkan peluang Fluminense pada perlawanan timbal balik kedua. – AFP.