Arrifin kemudi MSN, Jefri galas tugas Pesuruhjaya Sukan

Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan penstrukturan semula penempatan pegawai kanannya yang menyaksikan pertukaran portfolio antara Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Pesuruhjaya Sukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arrifin Mohd Ghani dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara yang baharu.
  • Jefri Ngadirin dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan yang baharu.
  • KBS yakin penstrukturan ini meningkatkan kecekapan pengurusan dan pelaksanaan dasar sukan negara.
  • Penstrukturan berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah strategik memperkukuh tadbir urus agensi KBS.

KBS memaklumkan, menerusi rombakan tersebut, bekas Pesuruhjaya Sukan, Arrifin Mohd Ghani kini dilantik sebagai Ketua Pengarah MSN yang baharu.

Manakala penyandang jawatan nombor satu MSN sebelum ini, Jefri Ngadirin, bertukar portfolio untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya Sukan yang baharu.

“KBS yakin penstrukturan penempatan ini dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan pengurusan, pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan sukan negara secara efisien,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

Penstrukturan semula yang berkuat kuasa serta-merta pada hari ini merupakan langkah strategik kementerian dalam memperkasa dan memperkukuh tadbir urus agensi di bawah naungannya.

Dalam pada itu, KBS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh kedua-dua pegawai berkenaan sepanjang memegang portfolio terdahulu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.