Badminton, Wushu sandaran Malaysia buru pingat Olimpik Remaja Dakar 2026

Foto FB KBSMalaysia

PUTRAJAYA, 15 Oktober -Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat pada Sukan Olimpik Remaja (YOG) Dakar 2026 di Senegal dari 31 Oktober hingga 13 November ini dengan badminton dan wushu menjadi antara sandaran utama kontinjen negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • YOG penting untuk menggilap atlet bawah 18 tahun dan meneruskan kecemerlangan dari temasya seperti Sukan SEA, Komanwel dan Sukan Asia.
  • Menteri merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke YOG di Menara Kementerian Belia dan Sukan.
  • Kontinjen akan beraksi dalam 16 acara melibatkan sembilan jenis sukan dan CDM menekankan pencapaian peribadi terbaik sebagai persediaan temasya utama.
  • YOG Dakar 2026 julung kali dianjurkan di Afrika dengan kira-kira 2,700 atlet; kontinjen Malaysia disertai jurulatih dan pegawai, rekod dua emas 2018.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata sasaran dibuat berdasarkan potensi atlet dan diharap dapat direalisasikan menerusi 12 atlet muda negara yang menggalas cabaran pada edisi keempat temasya berkenaan.

“Sudah pasti kita inginkan prestasi cemerlang sebelum-sebelum ini dibawa ke YOG, kita lihat bagaimana kecemerlangan sewaktu Sukan SEA 2025, Sukan Komanwel 2026, Sukan Asia 2026 dan sekarang YOG serta Sukan Para Asia yang bermula hujung minggu ini.

“Dan kita lihat bahawa YOG ini adalah satu temasya yang cukup penting khususnya untuk atlet muda bawah 18 tahun untuk kita menggilap lebih ramai lagi atlet untuk diangkat ke peringkat seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke YOG Dakar 2026 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada enam atlet lelaki dan enam wanita bakal bertanding dalam 16 acara melibatkan sembilan jenis sukan iaitu olahraga, renang, badminton, bola tampar pantai, breaking, lawan pedang, pelayaran, papan selaju dan wushu.

Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia Wong Weng Son menaruh harapan tinggi terhadap kemampuan wakil badminton dan wushu negara untuk memberikan saingan terbaik walaupun mengakui penyertaan kali ini mempunyai cabaran tersendiri berikutan perubahan selepas pandemik COVID-19.

Bekas juara dunia wushu 2017 dan 2023 itu berkata Malaysia akan mempertaruhkan seorang atlet dalam acara gabungan Taijiquan dan Taijijian yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 November, manakala badminton diwakili seorang pemain perseorangan lelaki.

Weng Son yang kali pertama menggalas tanggungjawab sebagai CDM berkata keutamaan beliau adalah memastikan setiap atlet mampu mempamerkan prestasi terbaik, termasuk memperbaharui pencapaian peribadi sebagai persediaan menghadapi temasya utama akan datang.

“Paling penting ialah mereka dapat mencapai prestasi peribadi terbaik supaya bersedia untuk temasya akan datang seperti Sukan SEA 2027 ataupun, kalau boleh, mereka dapat beraksi di Sukan Olimpik. Saya rasa itu paling penting untuk setiap atlet,” katanya.

YOG Dakar 2026 bakal mencipta sejarah sebagai temasya Olimpik pertama dianjurkan di benua Afrika dengan penyertaan kira-kira 2,700 atlet muda dari seluruh dunia, manakala kontinjen Malaysia sebanyak 26 orang turut disertai sembilan jurulatih dan empat pegawai sekretariat.

Sebagai rekod, Malaysia meraih dua pingat emas pada edisi 2018 di Buenos Aires, Argentina yang merupakan edisi terakhir dianjurkan, masing-masing menerusi Goh Jin Wei dalam acara badminton perseorangan wanita dan skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara. – BERNAMA.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.