
SYDNEY, 15 Oktober – Pasukan ragbi Australia melakukan empat perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan Declan Meredith diberi kepercayaan mengisi posisi fly-half bagi aksi menentang New Zealand dalam Piala Bledisloe di sini, Sabtu ini.
- Ben Donaldson diketepikan akibat kecederaan paha, memaksa perubahan di posisi half dan kombinasi serangan.
- Aidan Ross disenaraikan menggantikan Angus Bell dan dijangka dimasukkan dari bangku simpanan pada separuh masa kedua.
- Len Ikitau alami gegaran otak; Joseph-Aukuso Suaalii beralih ke outside centre manakala Harry Potter isi sayap kiri.
- New Zealand kekal juara Piala Bledisloe, mengekalkan kejuaraan buat kali ke-24 berturut-turut.
Ketua jurulatih Les Kiss menamakan Meredith bagi menggantikan Ben Donaldson, yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan di bahagian paha.
Meredith bakal membuat penampilan keempat di posisi itu dan bergandingan dengan rakan sepasukan ACT Brumbies, Ryan Lonergan, di posisi scrum-half.
Pemain prop Aidan Ross turut disenaraikan menggantikan Angus Bell, dan akan memulakan perlawanan dari bangku simpanan bagi memperkuatkan serangan pada separuh masa kedua.
Perubahan itu dilakukan selepas Wallabies tewas 19-50 kepada New Zealand di Eden Park minggu lepas.
Ross merupakan satu daripada dua perubahan di barisan hadapan, dengan Josh Nasser menggantikan Brandon Paenga-Amosa di posisi hooker untuk bergandingan dengan Allan Alaalatoa.
Australia turut kehilangan khidmat pemain tengah Len Ikitau yang mengalami gegaran otak, sekali gus menyaksikan Joseph-Aukuso Suaalii beralih ke posisi outside centre untuk bergandingan dengan Isaac Henry, manakala Harry Potter mengisi posisi sayap kiri.
Di bangku simpanan, Billy Pollard dipanggil semula untuk bergandingan dengan Bell dan Massimo De Lutiis sebagai pemain gantian barisan hadapan.
Josh Canham kembali selepas pulih daripada kecederaan untuk mengisi posisi lock gantian, manakala Carlo Tizzano melengkapkan barisan pemain hadapan simpanan.
Turut diberi peluang ialah scrum-half Kalani Thomas yang menggantikan Tate McDermott, manakala fly-half Harry McLaughlin-Phillips berpeluang membuat penampilan sulung sekiranya diturunkan.
“Kami mendapat gambaran jelas minggu lepas mengenai aspek yang perlu diperbaiki.
“Kami sejak awal menegaskan bahawa kami akan terus bekerja keras dan meningkatkan mutu permainan, dan skuad ini menunjukkan kesungguhan menerusi persiapan mereka sepanjang minggu ini,” kata Kiss.
Sementara itu, New Zealand selaku juara bertahan sudah pun mengekalkan kejuaraan Piala Bledisloe buat kali ke-24 berturut-turut. – AFP.