
ANGKASAPURI, 20 Jun – Selepas menjadi juara Tokyo Tower Stair Race edisi ke-20, pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching kini memberi fokus untuk mencipta rekod baharu di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Tower 6-Hour Challenge yang berlangsung esok.
- Menyasar rekod baharu daripada 1:49 kepada 1:47, yakin mampu capai masa lebih pantas.
- Perbezaan dua saat dianggap besar; memerlukan larian hampir sempurna dari awal hingga akhir.
- Ketepatan teknik setiap anak tangga penting; guna dua langkah dan tiga langkah untuk pendakian pantas.
- Format perlumbaan tiga pusingan; perlu urus tenaga pada kelayakan, pusingan kedua dan final.
Beliau optimis mampu memperbaharui rekod sebelum ini iaitu 1 minit 49 saat kepada 1 minit 47 saat bersempena Sambutan Hari Bandaraya Petaling Jaya Ke-20.
Menurutnya, meskipun perbezaan hanya dua saat, ia merupakan jurang yang besar dalam acara larian menara kerana memerlukan larian yang hampir sempurna dari awal hingga akhir.
“Untuk mencatat masa yang lebih pantas, setiap pergerakan perlu dilakukan dengan tepat dan mengikut strategi yang ditetapkan.
“Larian ini memerlukan ketepatan yang sangat tinggi. Pada setiap anak tangga, saya bukan sahaja perlu menggunakan teknik dua langkah (double step), malah perlu melakukan tiga langkah (triple step) bagi menamatkan pendakian 25 tingkat dengan lebih pantas.
“Cabaran esok juga lebih besar kerana kami perlu berlari sebanyak tiga kali. Peringkat pertama adalah kelayakan, diikuti pusingan kedua yang akan memilih 10 pelari terpantas ke final.
“Jadi, pada peringkat awal kami tidak boleh memecut habis-habisan kerana perlu mengurus tenaga untuk memastikan pemulihan yang baik sebelum perlumbaan seterusnya. Acara ini mempunyai aspek teknikal dan strategi tersendiri bagi membolehkan kami memberikan prestasi terbaik,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Katanya, aspek pengagihan tenaga menjadi faktor paling penting jika mahu menampilkan prestasi terbaik pada perlumbaan akhir.
Beliau turut mengakui faktor usia turut mempengaruhi persembahan atlet bagi acara berintensiti tinggi seperti larian menara dan pecutan jarak pendek.
Beliau yang berjaya menamatkan cabaran di Tokyo dengan catatan 2 minit 21 saat iru turut memperbaharui rekod peribadinya sebanyak lapan saat berbanding penyertaan terdahulu.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih belum mencapai prestasi maksimum dan yakin masa yang lebih pantas mampu dicapai sekiranya diberi peluang untuk kembali bertanding pada tahun hadapan.
Menurut beliau, antara cabaran utama adalah struktur tangga di Tokyo yang jauh berbeza berbanding kebanyakan bangunan di Malaysia.