
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dengan kerjasama SP Sport Park menganjurkan kejohanan SPXSAM Goal & Smash World Cup Fiesta 2026 bagi memeriahkan bahang kejohanan Piala Dunia FIFA yang sedang berlangsung ketika ini.
- Program melibatkan 130 peserta, memberi ruang kepada pengamal media beriadah sambil merasai kemeriahan Piala Dunia.
- Dua acara utama dipertandingkan: futsal dan pickleball, serta skrin besar disediakan untuk tontonan langsung perlawanan Piala Dunia.
- Kolaborasi sulung SAM dan SP Sport Park dijangka kurangkan tekanan kerja, dengan perancangan masa hadapan termasuk siri go-kart bersama MAM.
Program yang berlangsung di SP Sport Park, Cheras itu melibatkan penyertaan seramai 130 orang merangkumi ahli-ahli SAM dan rakan-rakan strategik.
Timbalan Presiden SAM, Izahar Atan berkata, penganjuran ini merupakan inisiatif persatuan untuk memberi ruang kepada pengamal media beriadah sambil merasai kemeriahan pesta bola sepak dunia.
“Kejohanan ini diadakan khusus bersempena memeriahkan bahang Piala Dunia yang sedang berlangsung. Selain itu, kami amat menghargai kerjasama SP Sport Park yang menyediakan lokasi strategik di bawah jambatan ini,” katanya ketika ditemui pada kejohanan SPXSAM Goal & Smash World Cup Fiesta 2026 di ibu negara.
Dua acara utama dipertandingkan dalam kejohanan tersebut iaitu futsal dan pickleball.
Sementara itu, Pengarah Urusan SP Sport Park, Daniel Wong menyifatkan kolaborasi sulung bersama SAM itu sebagai platform terbaik untuk komuniti media mengurangkan tekanan kerja dalam suasana santai.
“Visi kami dan SAM adalah sama iaitu untuk menghidupkan komuniti sukan. Kita dapat lihat sambutan amat memberangsangkan pagi ini dengan suasana yang penuh semangat.
“Bagi perancangan masa hadapan, kita sedang melihat potensi untuk menganjurkan siri perlumbaan go-kart di lokasi ini dengan kerjasama Persatuan Permotoran Malaysia (MAM),” jelas beliau.
Selain aktiviti sukan, pihak penganjur turut menyediakan skrin besar bagi membolehkan para peserta menyaksikan siaran langsung perlawanan Piala Dunia.
Kejohanan menawarkan pelbagai hadiah dalam bentuk wang tunai dan barangan kepada para pemenang.