
TUMPAT, 14 Jun – Taktik seorang lelaki mengubah suai tangki minyak kereta untuk membawa petrol melebihi kapasiti terbongkar selepas ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan semasa melakukan kegiatan haram itu di sebuah stesen minyak di Terbak, Tumpat, pagi tadi.
- 120 liter petrol bernilai lebih RM446 dirampas dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
- Operasi KPDN dijalankan bersama Pasukan Polis Marin dan PGA, penguatkuasaan dilaksanakan 24 jam.
- Suspek dan stesen mempunyai rekod lampau; rampasan termasuk sebuah kereta bernilai melebihi RM5,446; disiasat di bawah Seksyen 21 dan Peraturan 12A.
Suspek berusia 43 tahun itu membawa 120 liter petrol bernilai lebih RM446 yang dipercayai untuk diseleweng ke negara jiran.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi pada pukul 7.30 pagi itu turut dilakukan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Pasukan Gerakan AM (PGA).
Beliau berkata pemeriksaan menemukan petrol tersebut di dalam tangki yang diubah suai di bahagian bonet kenderaan tempatan tersebut yang sepatutnya hanya boleh diisi sebanyak 50 liter.
Suspek juga dipercayai menggunakan modus operandi dengan mengisi minyak petrol pada waktu sibuk seperti awal pagi ketika ibu bapa menghantar anak ke sekolah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, helah itu juga dikesan banyak digunakan oleh penyeludup minyak petrol yang lain kerana beranggapan aktiviti penguatkuasaan tidak dijalankan pada waktu berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mereka cuba untuk mengisi minyak pada waktu itu dan mungkin apa yang dinyatakan kepada kami, hasil soal siasatan tadi kerana mereka rasakan tiada penguatkuasaan di waktu tesebut.
“Saya hendak tegaskan di sini bahawa kami bergerak 24 jam sehari tidak mengira waktu, tidak mengira masa. Jadi saya harap agar perkara ini diambil perhatian oleh orang ramai”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Op Tiris di sebuah stesen minyak di Pengkalan Kubor, di sini.
Mengulas lanjut katanya, hasil semakan mendapati suspek dan stesen minyak berkenaan kedua-duanya mempunyai rekod kesalahan lampau.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah kereta yang disita melebihi RM5,446.00.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan.
Manakala bagi stesen minyak pula, tindakan diambil atas kesalahan melanggar arahan pengawal stesen melakukan jualan berulang melalui Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.