
BOGOTA, 11 Jun – Pengaruh luar biasa ikon bola sepak dunia terbukti mengatasi populariti wira tempatan di Amerika Selatan apabila nama-nama seperti Neymar, Kylian Mbappe, dan Lionel Messi menjadi pilihan utama ibu bapa untuk dinamakan kepada anak-anak mereka.
- Ecuador: pendaftaran rasmi menunjukkan Neymar, Mbappé dan James Rodriguez antara nama bayi paling kerap direkodkan.
- Nama antarabangsa menenggelamkan pilihan nama pemain tempatan seperti Kendry Paez dan Willian Pacho.
- Trend serupa di Colombia, Brazil dan Chile; keluarga gabungkan nama bintang dan ramalan beralih kepada prospek muda seperti Lamine Yamal atau Vitinha.
Di Ecuador misalnya, data rasmi pendaftaran negara itu mendedahkan nama bintang Brazil, Neymar, paling banyak digunakan oleh ibu bapa tempatan.
Situasi itu jauh meninggalkan nama barisan bintang negara itu sendiri yang sedang bersiap sedia menghadapi kempen kelima Piala Dunia mereka.
Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Awam Ecuador, nama Neymar menduduki kedudukan teratas dengan seramai 3,847 kanak-kanak berkongsi nama yang sama dengan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Brazil itu.
Bintang Perancis, Kylian Mbappe, berada di kedudukan kedua dengan lebih 2,800 kanak-kanak dinamakan sempena pemenang Piala Dunia 2018 itu, diikuti ketua pasukan Colombia, James Rodriguez, di tempat ketiga dengan 2,136 orang.
Populariti nama-nama berkenaan telah menenggelamkan nama bintang muda meningkat naik Ecuador sendiri seperti Kendry Paez mahupun juara dua kali Liga Juara Eropah bersama PSG, Willian Pacho.
Selain itu, nama dua bintang veteran, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo turut menjadi pilihan keluarga di Ecuador, yang merekodkan 1,549 kanak-kanak bernama Lionel, 38 bernama Messi, 178 bernama Cristiano, dan 1,006 bernama Ronaldo.
Trend hampir serupa turut dikesan di Colombia apabila data pendaftaran menunjukkan nama Kylian atau Mbappe mendahului pilihan dengan 836 kanak-kanak, mengatasi nama Neymar (269) dan Cristiano atau Ronaldo (220).
Di Brazil pula, nama Neymar diabadikan oleh 2,443 ibu bapa mengikut data bancian tempatan, manakala lebih 400 kanak-kanak merekodkan nama Kylian atau Killian.
Sementara itu di Chile, keghairahan terhadap sukan bola sepak mencetuskan liputan media yang meluas apabila sebuah keluarga bertindak menggabungkan nama dua bintang Perancis, ‘Griezmann Mbappe’ untuk bayi mereka yang lahir baru-baru ini.
Lebih menarik, bayi berkenaan berada dalam kelompok keluarga peminat tegar bola sepak memandangkan abangnya dinamakan ‘James Modric’ iaitu gabungan nama James Rodriguez dan Luka Modric.
Manakala sepupu-sepupunya pula dinamakan Andres Iniesta, Leonel Messi, dan Neymar Ronaldo.
Pemerhati sukan meramalkan trend nama bayi ini bakal beralih arah dalam tempoh setahun lagi, dengan tumpuan dijangka beralih kepada nama-nama prospek muda yang bakal menyinar pada edisi kali ini seperti Lamine Yamal dari Sepanyol atau Vitinha dari Portugal. – AFP