ASM 3 umum agihan pendapatan 5.00 sen seunit

Foto FB ASNB

KUALA LUMPUR, 28 September – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi dana harga tetap, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3), untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM1.01 bilion diagihkan kepada 818,137 pemegang unit yang memiliki 20.97 bilion unit.
  • Pengagihan meningkat berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan prestasi dana yang berdaya tahan dalam persekitaran pelaburan global mencabar.
  • Prestasi disokong pengurusan portfolio berdisiplin, pengurusan risiko berhemat dan pemilihan pelaburan dalam sektor berpotensi pertumbuhan.
  • Sehingga 23 Sep 2026, ASM 3 merekodkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM1.23 bilion.

Menurut syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu, jumlah pengagihan sebanyak RM1.01 bilion akan memanfaatkan 818,137 pemegang unit yang memiliki 20.97 bilion unit.

Pengagihan itu meningkat berbanding 4.75 sen seunit pada tahun sebelumnya, mencerminkan prestasi dana yang berdaya tahan dalam persekitaran pelaburan global yang mencabar, dipengaruhi ketidaktentuan kadar faedah, ketegangan geopolitik serta turun naik pasaran.

“Prestasi ini disokong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin, pengurusan risiko yang berhemat serta penempatan pelaburan secara terpilih dalam sektor dan tema yang mempunyai potensi pertumbuhan struktur yang kukuh,” katanya.

Pendekatan itu membolehkan ASM 3 terus menjana pulangan mampan kepada pemegang unit walaupun berdepan perubahan keadaan pasaran.

ASNB memaklumkan, pendapatan dana turut disokong keuntungan direalisasikan, pendapatan dividen dan sumber pendapatan lain daripada portfolio pelaburan yang pelbagai meliputi pasaran domestik serta antarabangsa.

Peruntukan aset merentasi instrumen pendapatan tetap, hartanah dan pelaburan persendirian pula menyumbang kepada kepelbagaian sumber pendapatan serta memperkukuh daya tahan portfolio.

Sehingga 23 September 2026, ASM 3 merekodkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM1.23 bilion.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober ini.

Sementara itu, urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk saluran dalam talian serta perbankan internet, ditangguhkan sementara dari 27 hingga 30 September bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.