Sektor tenaga stabil asas pacu pertumbuhan ekonomi Sabah

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 28 September – Sektor tenaga yang stabil, mampu milik dan boleh dipercayai merupakan antara asas penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar di Sabah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan tenaga berkualiti menyokong pembangunan industri, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
  • Pengambilalihan kawal selia memberi kuasa kepada Sabah menentukan hala tuju tenaga, sementara ECoS memastikan sektor teratur, selamat dan berdaya tahan.
  • Sabah berpotensi besar tenaga boleh baharu khususnya solar dan hidro; peralihan perlu dilaksanakan teliti dengan melibatkan rakyat dan perniagaan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, bekalan tenaga berkualiti bukan sahaja penting bagi menyokong pembangunan industri dan menarik pelaburan, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi serta pekerjaan, selain meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata demikian pada Sesi Bersama Media Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), di sini.

Menurut Datuk Joniston, pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan gas daratan pada Januari 2023, diikuti bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu pada Januari 2024, merupakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan Sabah menentukan hala tuju sektor tenaganya sendiri.

Dalam konteks itu, ECoS memainkan peranan memastikan sektor tenaga berkembang secara teratur, selamat dan berdaya tahan, selain melindungi kepentingan pengguna.

“Sabah mempunyai potensi besar dalam pembangunan tenaga boleh baharu, khususnya sumber solar dan hidro.

“Bagaimanapun, usaha peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara teliti dengan mengambil kira kemampuan rakyat, kesiapsiagaan infrastruktur, keperluan industri serta realiti pembangunan negeri,” katanya

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif Solar Rakyat Sabah dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah yang dilancarkan pada Julai lalu antara langkah yang membuka ruang kepada rakyat dan sektor perniagaan untuk bersama-sama menjayakan agenda peralihan tenaga negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.