
KUALA LUMPUR, 28 September – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ingin memaklumkan bahawa pelantikan Shahrol Azizie Azmi (Shahrol Shiro) di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC) adalah sebagai pengajar sambilan kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon yang mengkhususkan kepada komediri (‘stand-up comedy’).
- Beliau hanya memberi latihan amali dan praktikal tanpa pengajaran dalam kuliah.
- Lantikan berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengamal industri seni dalam lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.
- Kursus Citra (Seni Lakon) memberi pendedahan dan pengalaman asas dalam bidang seni persembahan kepada pelajar UKM.
Menurut UKM, melalui lantikan itu, beliau hanya memberi latihan amali dan praktikal tanpa melibatkan pengajaran di dalam kuliah.
“Lantikan tersebut juga adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi,” menurut kenyataan itu.
Kursus Citra UKM (Seni Lakon) merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar UKM bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan dan persembahan.
Sementara itu, FPSC adalah fakulti yang mengkhususkan kepada pengajian transdisiplin, meliputi pengajian umum termasuk kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform.