
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Jenayah kewangan kini semakin kompleks apabila sindiket penipuan mula menggunakan teknologi baharu termasuk ‘blockchain’ dan mata wang kripto bagi menyembunyikan transaksi serta melarikan dana ke luar negara.
- Cabaran rentas sempadan apabila dana jenayah dipindahkan ke luar negara, menyukarkan bidang kuasa dan penguatkuasaan.
- NFCC dan UTM laksanakan Program Certified Financial Investigator hibrid enam bulan untuk tingkatkan kemahiran pegawai penyiasat.
- Kerjasama NFCC dengan CyberSecurity Malaysia bentuk pakar kripto dan blockchain melalui latihan khusus dua tahun.
- Orang ramai digalak membuat verifikasi nombor telefon dan akaun bank; elak layan panggilan mencurigakan dan tawaran pulangan tinggi segera.
Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, penjenayah sentiasa berada selangkah ke hadapan dengan menggunakan pelbagai teknik dan pendekatan baharu yang menyukarkan usaha pengesanan serta penguatkuasaan.
“Penjenayah ini akan sentiasa lebih maju daripada penguat kuasa dan menggunakan pelbagai teknik atau pendekatan baharu. Terutamanya sekarang mereka menggunakan kaedah blockchain dan mata wang kripto.
“Perkembangan teknologi itu turut mewujudkan cabaran rentas sempadan apabila wang hasil jenayah dipindahkan ke luar negara, sekali gus melibatkan isu bidang kuasa yang lebih rumit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, NFCC menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Program Certified Financial Investigator (CFIP) yang dilaksanakan secara hibrid selama enam bulan bagi meningkatkan kemahiran pegawai penyiasat daripada pelbagai agensi.
Selain itu, NFCC turut bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia untuk melahirkan pakar dalam bidang mata wang kripto dan blockchain menerusi program latihan khusus selama dua tahun.
“Program ini bertujuan melahirkan pegawai yang mampu menjadi pakar serta memberi keterangan di mahkamah dalam kes melibatkan cryptocurrency,” katanya lagi.
Mengulas mengenai golongan penjawat awam yang turut menjadi mangsa penipuan kewangan, Datuk Seri Shamshun berkata tiada individu yang kebal daripada menjadi mangsa sekiranya gagal membuat semakan dan verifikasi terhadap tawaran yang diterima.
Sindiket lazimnya menggunakan taktik psikologi bagi mewujudkan rasa takut atau mendesak mangsa membuat keputusan dalam tempoh singkat.
“Scammer akan membuat profiling terhadap individu yang bakal menjadi mangsa. Sebab itu kalau menerima panggilan yang mencurigakan, jangan kita layan.
“Apabila kita melayan, mereka boleh mewujudkan rasa ketakutan dan akhirnya mangsa sanggup memindahkan wang ke akaun yang diberikan,” katanya.
Antara bentuk penipuan yang paling kerap memperdaya penjawat awam ialah skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat serta tawaran pinjaman mudah tanpa proses semakan yang ketat.
Sehubungan itu, orang ramai disaran membuat semakan terlebih dahulu menggunakan aplikasi atau platform yang disediakan pihak berkuasa bagi mengesahkan nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan sebelum melakukan sebarang transaksi.
“Yang penting kita perlu membuat verifikasi terlebih dahulu. Itu merupakan langkah awal yang patut dilakukan bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan,” katanya.