50,000 pengunjung dijangka meriahkan Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026

Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026 dari 25 Julai hingga 1 Ogos di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu

KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026 yang berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu dijangka menarik kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung sepanjang penganjurannya dari 25 Julai hingga 1 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Karnival menjadi platform menyatukan ilmu, budaya dan warisan serta memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
  • Dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, menzahirkan komitmen kerajaan memartabatkan pembudayaan ilmu dan tulisan Jawi.
  • Pengisian menyeluruh meliputi pendidikan, seni, budaya dan khidmat masyarakat sambil menyediakan akses bahan bacaan berkualiti.
  • Komponen Semarak Jawi mengangkat martabat tulisan Jawi, memastikan pemeliharaan, pembelajaran dan penyesuaian dengan pendekatan pendidikan semasa.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Perpaduan Negara, penganjuran karnival tersebut menjadi platform penting dalam menyatukan elemen ilmu, budaya dan warisan, sekali gus memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Karnival itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid, sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pembudayaan ilmu serta memartabatkan tulisan Jawi.

“Program anjuran kementerian melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) itu menghimpunkan pelbagai pengisian meliputi pendidikan, seni, budaya dan khidmat masyarakat dalam suasana santai serta inklusif.

“Selain menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti, karnival tersebut turut membuka ruang kepada masyarakat menambah koleksi bacaan serta memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak, keluarga dan komuniti setempat,” tambah kenyataan itu.

Pengisian Semarak Jawi yang menjadi komponen utama karnival pula berperanan mengangkat martabat tulisan Jawi sebagai warisan bangsa dan khazanah tamadun bernilai tinggi.

Edisi ke-11 yang dianjurkan di Terengganu tahun ini mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan tulisan itu terus dipelihara, dipelajari dan disesuaikan dengan pendekatan pendidikan semasa.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjuran program berkenaan dijangka memberi impak positif melalui peningkatan literasi, pemeliharaan warisan kebangsaan serta pengukuhan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, industri perbukuan dan komuniti.

Inisiatif tersebut turut menyokong pembangunan modal insan berilmu, merancakkan industri buku tempatan serta memperkukuh perpaduan masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.