
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Penambahbaikan struktur gred jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar dipertimbangkan kerajaan bagi memastikan organisasi itu kekal relevan dengan peningkatan tanggungjawab serta cabaran keselamatan semasa.
- Cadangan kenaikan gred Timbalan Ketua Polis Negara kepada Gred Turus 3; Pengarah Jabatan kekal Gred JUSA A; Ketua Polis Negeri Gred JUSA B.
- Penyelarasan gred diyakini memperkemaskan rantaian kepimpinan serta memudahkan urusan pentadbiran dan penyelarasan tugas dalam pasukan.
- Cadangan itu bukan kepentingan peribadi; telah dibangkitkan sebelum ini demi masa depan organisasi dan kepimpinan lebih tersusun.
- Peningkatan penduduk dan cabaran keselamatan kompleks meningkatkan beban tugas pegawai, alasan untuk pertimbangan kerajaan memperkasakan institusi kepolisan.
Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengakhiri tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Negara hari ini berkata, cadangan itu bukan perkara baharu, sebaliknya telah dikemukakan sebelum ini sebagai usaha memperkukuh struktur kepimpinan PDRM serta melancarkan urusan pentadbiran pasukan.
Menurut beliau, selepas jawatan Ketua Polis Negara dinaik taraf kepada Gred Turus 2, jawatan Timbalan Ketua Polis Negara sewajarnya dinaikkan kepada Gred Turus 3, manakala semua Pengarah Jabatan dikekalkan pada Gred JUSA A dan Ketua Polis Negeri pada Gred JUSA B.
Beliau berkata, penyelarasan itu diyakini mampu memperkemaskan rantaian kepimpinan selain memudahkan urusan pentadbiran dan penyelarasan tugas dalam pasukan.
“Saya menyuarakan perkara ini bukan kerana hari ini adalah hari terakhir saya dalam perkhidmatan, sebaliknya ia telah saya bangkitkan sebelum ini kerana saya melihat ia penting untuk masa depan organisasi,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.
Tan Sri Ayob Khan berkata, cadangan itu bukan dibuat atas kepentingan peribadi memandangkan beliau akan menamatkan perkhidmatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa esok, sebaliknya bagi memastikan kepimpinan tertinggi PDRM pada masa hadapan mempunyai struktur organisasi yang lebih tersusun dan selari dengan tanggungjawab yang dipikul.
Menurut beliau, pertambahan jumlah penduduk serta cabaran keselamatan yang semakin kompleks menyebabkan beban tugas pegawai dan anggota PDRM terus meningkat dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan institusi kepolisan negara serta memastikan PDRM terus berupaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.