
NEW JERSEY, 8 Jun – Maghribi mencatat keputusan seri 1-1 menentang Norway dalam aksi pemanas badan menjelang saingan Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
- Brahim Díaz menjaringkan gol awal pada minit ke-8 hasil hantaran Abde Ezzalzouli.
- Norway menguasai permainan kemudian dengan Erling Haaland memimpin serangan dan Martin Odegaard mengawal bahagian tengah.
- Martin Odegaard menyamakan kedudukan pada minit ke-76 selepas menerima hantaran daripada Oscar Bobb; kedua pasukan terus mencari jaringan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sports Illustrated, skuad The Atlas Lions bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi Brahim Diaz.
Diaz menyempurnakan serangan balas pantas dengan rembatan kaki kanan dari kotak penalti hasil hantaran Abde Ezzalzouli.
Maghribi terus mengancam pada babak pertama permainan dengan Ezzalzouli beberapa kali menguji benteng pertahanan lawan, termasuk satu percubaan yang berjaya ditepis penjaga gol Norway, Orjan Nyland pada minit kelima.
Bagaimanapun, Norway bangkit menguasai rentak permainan selepas itu dengan Erling Haaland mendahului barisan pertahanan dan Martin Odegaard mengawal bahagian tengah.
Pasukan Norway mula mencipta lebih banyak penguasaan bola dan beberapa peluang berbahaya dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-34 menerusi tandukan Kristoffer Ajer, namun percubaannya sedikit tersasar.
Babak pertama sekali gus menyaksikan Magribi mendahului dengan 1-0.
Namun, pada babak kedua tekanan berterusan Norway akhirnya membuahkan hasil apabila Martin Odegaard meledak gol penyamaan selepas menerima hantaran dari Oscar Bobb pada minit ke-76 menjadikan kedudukan 1-1.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan, namun gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
Untuk rekod, Maghribi mencipta sejarah pada Piala Dunia 2022 apabila muncul sebagai pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir sebelum tewas 0-2 kepada Perancis.
Selepas ini, Maghribi dijadualkan berdepan juara dunia lima kali, Brazil, dalam aksi Kumpulan C pada 13 Jun, manakala Norway dijadual menentang Iraq dalam pemburuan kejuaraan aksi Kumpulan I pada 16 Jun depan.