Malaysia dipilih ahli anggota ECOSOC PBB bagi penggal 2027-2029

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Jun – Malaysia melakar kejayaan di peringkat global apabila dipilih sebagai anggota Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bersatu (ECOSOC) bagi penggal 2027-2029 selepas meraih undian tertinggi dalam pemilihan yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia memperoleh 184 undi daripada 186 negara anggota yang hadir semasa pemilihan di Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB.
  • Keputusan mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap komitmen Malaysia memperkukuh kerjasama pelbagai hala dan pembangunan mampan.
  • Antara isu diberi perhatian ialah ketidaktentuan ekonomi global, krisis kemanusiaan, ketidaksamaan serta kesan perubahan iklim.
  • Malaysia turut menekankan pembasmian kemiskinan, pembiayaan pembangunan, reformasi sistem antarabangsa, keselamatan makanan, pendidikan dan kesihatan.

Pemilihan itu dibuat semasa Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) yang berlangsung semalam (Khamis).

Dalam pemilihan tersebut, Malaysia memperoleh 184 undi daripada 186 negara anggota yang hadir.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan rasmi hari ini, keputusan itu menunjukkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama pelbagai hala, pembangunan mampan dan hubungan antarabangsa.

“Sebagai ahli ECOSOC, Malaysia akan terus membawa kepentingan negara-negara membangun serta bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, inklusif dan mampan.

“Antara isu yang akan diberi perhatian ialah ketidaktentuan ekonomi global, krisis kemanusiaan, ketidaksamaan dan kesan perubahan iklim.

“Malaysia juga akan terus mengutamakan pembasmian kemiskinan, pembiayaan pembangunan dan reformasi sistem antarabangsa”, menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut memaklumkan, Malaysia akan memberi tumpuan kepada keterjaminan makanan, pemerkasaan belia, pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan mampu milik serta kesejahteraan komuniti rentan.

Tambah kenyataan itu lagi, dalam suasana global yang semakin mencabar, ECOSOC terus memainkan peranan penting dalam menyelaras usaha antarabangsa ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta memastikan pembangunan dapat dinikmati oleh semua pihak.

Untuk rekod, Pemilihan terbaharu ini menandakan kali kelapan Malaysia diberi mandat untuk menganggotai majlis berkenaan.

Sebelum ini, Malaysia pernah dipilih sebagai anggota ECOSOC bagi tujuh penggal berasingan iaitu bagi penggal 1971 sehingga 1973, 1976 sehingga 1978, 1983 sehingga 1985, 1991 sehingga 1993, 1995 sehingga 1997, 2003 sehingga 2005, dan kali terakhir pada penggal 2008 sehingga 2010.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.