
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan meneruskan kemudahan pas perjalanan My50 bagi memanfaatkan 300,000 pengguna perkhidmatan bas dan rel kendalian Prasarana di Lembah Klang, selain memperkenalkan pas MyKomuter50 untuk pengguna KTM Komuter.
- Pas perjalanan percuma diteruskan kepada 360,000 penerima termasuk murid sekolah, OKU dan kanak-kanak bawah enam tahun.
- Prasarana melabur lebih RM3.4 bilion untuk pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel dan kerajaan peroleh 42 set tren baharu.
- Fasa 1 ECRL dijangka mula operasi Disember; persetujuan sambung ke Rantau Panjang dan RM270 juta untuk perkhidmatan bas Pantai Timur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan MyKomuter50 dijangka memberi manfaat kepada 40,000 pengguna, dengan penjimatan purata sehingga RM160 sebulan.
“Selain itu, pas perjalanan percuma akan terus diberikan kepada 360,000 penerima yang terdiri daripada murid sekolah, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia bawah enam tahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri berkata, dalam usaha meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel, Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dipertanggungjawabkan mengambil langkah segera bagi memastikan kelancaran operasi susulan gangguan perkhidmatan tren yang menjejaskan perjalanan harian pengguna.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, Prasarana akan melabur lebih RM3.4 bilion bagi melaksanakan pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel, manakala kerajaan akan memperoleh 42 set tren baharu untuk perkhidmatan Ekspres Transit (ETS) dan KTM Komuter,” katanya.
Mengenai Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Perdana Menteri memaklukan, Fasa 1 ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi pada Disember ini.
Katanya, Malaysia dan China turut mencapai persetujuan untuk menyambung laluan ECRL ke Rantau Panjang.
“Sebuah stesen bas juga akan dibina di stesen ECRL Kota Bharu bagi memudahkan pergerakan rakyat Kelantan.
“Kerajaan turut memperuntukkan RM270 juta bagi meningkatkan perkhidmatan bas henti-henti di bandar utama, termasuk menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyediakan RM1.1 bilion bagi menambah baik jalan di kawasan pelabuhan serta lapangan terbang di Kota Kinabalu, Miri, Tawau, Sandakan dan Pulau Pinang, selain STOLport Long Banga dan Ba’Kelalan di Sarawak.