RM2.62 bilion bantuan kepada pesawah, tingkat pengeluaran padi

Golongan pesawah menikmati manfaat sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Belanjawan 2027 menyediakan bantuan berjumlah RM2.62 bilion kepada golongan pesawah melibatkan pelbagai subsidi serta insentif bertujuan meningkatkan pengeluaran padi dan menjaga kebajikan golongan sasar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tingkatkan insentif penuaian daripada RM50 ke RM100 sehektar; insentif pembajakan RM300 dikekalkan dan diperluas ke Sabah serta Sarawak.
  • Peruntukan RM20 juta untuk baja foliar memulih dan menyubur semula lebih 10,000 hektar sawah; naik taraf pengairan 15 blok dan pemulihan Empangan Pedu.
  • Sektor perikanan: lesen sampan khas ditambah kepada 20,000 nelayan dengan peruntukan RM30 juta, diesel bersubsidi RM1.65 seliter, geran dan pembiayaan.
  • Sokongan kepada pekebun kecil dan FELDA: pembiayaan semula sawit RM100 juta, pembiayaan mudah RM200 juta dengan faedah hanya dua peratus, RM1.26 bilion untuk FELDA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bantuan membolehkan golongan pesawah menikmati manfaat sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah termasuk subsidi benih, baja, racun, upah bajak dan harga padi.

“Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar insentif penuaian padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim, manakala kadar insentif pembajakan yang telah ditingkatkan kepada RM300 dikekalkan dan diperluas kepada pesawah Sabah dan Sarawak.

“RM20 juta disediakan untuk membekalkan baja foliar di lebih 10,000 hektar tanah sawah bagi memulih serta menyubur semula tanah sawah padi.

“Sementara itu, Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun amat penting untuk kelangsungan bekalan beras negara dan kerja menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah sedang berjalan mengikut jadual, selain projek pemulihan Empangan Pedu di Kedah dijangka siap pada penghujung 2027,”kata Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat.

Bagi sektor perikanan dan nelayan pula, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan dengan peruntukan RM30 juta, selain menyediakan geran projek akuakultur dan pembiayaan RM40 juta menerusi Agrobank.

“Nelayan yang layak juga terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter, manakala RM178 juta disediakan antaranya bagi insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup sehingga RM300 sebulan.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM300 juta bagi memperhebat kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelaksanaan projek agromakanan, selain menyediakan lebih RM1 bilion dana pembiayaan kepada usahawan tani melalui Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Bagi pekebun kecil sawit, pembiayaan hibrid RM100 juta disediakan untuk penanaman semula melibatkan 4,500 pekebun kecil, selain pembiayaan mudah RM200 juta dengan kadar faedah ditanggung pekebun hanya dua peratus serta penangguhan bayaran balik selama empat tahun,”katanya.

Peruntukan membaik pulih jalan ladang turut digandakan daripada RM50 juta kepada RM100 juta, manakala RM30 juta disediakan bagi membendung penyakit dan serangan perosak tanaman termasuk dalam sektor sawit, koko dan lada.

Dalam pada itu, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM3 kepada RM3.30 sekilogram, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil getah.

“RM1.26 bilion diluluskan bagi 2027 untuk memperkukuh kewangan FELDA, menyelenggara jalan serta menyediakan perumahan generasi FELDA.

“Purata pendapatan bersih peneroka FELDA meningkat daripada RM2,272 sebulan pada 2023 kepada RM3,800 tahun ini, manakala 109,000 peneroka kini memiliki hak milik tanah,”katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.