RM50 juta diperuntuk laksana Komuniti Angkat MADANI

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi pelaksanaan Komuniti Angkat MADANI pada 2027, dengan tumpuan membantu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) bandar meningkatkan kemahiran dan pendapatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Universiti dan institusi TVET dilibatkan untuk menyediakan latihan kemahiran sesuai keperluan komuniti.
  • Kerajaan merancang dapur bersama, peralatan perniagaan dan latihan bagi membantu penduduk menjana pendapatan.
  • Inisiatif Kampung Angkat dan Sekolah Angkat telah memanfaatkan hampir 500 kampung dan 1,700 sekolah seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menerusi inisiatif itu, universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dilibatkan bagi menyediakan latihan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan penduduk.

“Untuk tahun 2027, kerajaan akan melaksanakan Komuniti Angkat MADANI dengan peruntukan RM50 juta. Tumpuan kali ini untuk membantu komuniti PPR bandar.

“Pengurusan tertinggi kementerian dan agensi diamanah mengetuai ikhtiar ini. Universiti dan institusi TVET turut dilibatkan supaya dapat menawarkan kemahiran yang diperlukan warga PPR,” katanya ketika berucap membentang Belanjawan MADANI kelima 2027 di Parlimen hari ini.

Selain latihan kemahiran, kerajaan turut merancang penyediaan dapur bersama, peralatan perniagaan dan latihan bagi membantu penduduk menjana pendapatan.

Sejak 2024, pelaksanaan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI telah memanfaatkan hampir 500 kampung dan 1,700 sekolah di seluruh negara.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penyediaan kemudahan di Kampung Jilid 8, Kuala Muda, Kedah, oleh Jabatan Peguam Negara, termasuk padang bola, jeti nelayan dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional (BSN) yang turut memberi manfaat kepada penduduk kampung berhampiran.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kalong, Terengganu menerima bilik pemulihan khas yang lebih selesa serta kemudahan pembelajaran robotik untuk murid hasil sumbangan Sime Darby Berhad.

Kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada kementerian, jabatan, agensi dan badan korporat yang menyumbang kepada pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Pelaksanaan Komuniti Angkat MADANI pada 2027 dijangka memperluas pendekatan pembangunan berasaskan komuniti, khususnya bagi membantu penduduk PPR meningkatkan kemahiran, memperkukuh kegiatan ekonomi dan menambah pendapatan isi rumah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.