Peruntukan hal ehwal Islam RM3.1 bilion, 40,000 petugas agama dilindungi PERKESO

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Peruntukan bagi hal ehwal Islam meningkat kepada RM3.1 bilion berbanding RM2.6 bilion sebelum ini, selain kerajaan menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas agama menerusi Tabung Haji.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan MADANI akan terus memartabatkan syiar Islam, memelihara tradisi keilmuan serta memperkukuh institusi pondok dan turath.
  • Menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penglibatan tokoh ulama antarabangsa dan memperkenalkan Sijil Turath Malaysia.
  • Kerajaan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO bagi petugas agama menerusi Tabung Haji.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan MADANI akan terus memartabatkan syiar Islam di Malaysia, termasuk memelihara tradisi keilmuan dan memperkukuh institusi pondok serta turath.

“Peruntukan untuk hal ehwal Islam akan ditingkatkan daripada 2.6 bilion kepada RM3.1 bilion.

“Manakala, bagi memelihara keilmuan turath, kerajaan akan menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penglibatan tokoh ulama antarabangsa,” menurut Datuk Seri Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2027.

Katanya, kerajaan turut memperkenalkan Sijil Turath Malaysia bagi menjamin kemampanan institusi pondok.

Sementara itu, dalam usaha memperluas kemahiran digital, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan bekerjasama menyediakan peranti serta latihan kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok seluruh negara.

Kerajaan juga akan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO bagi 40,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir menerusi Tabung Haji.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan insentif khas RM150 sebulan kepada 500 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk melalui bahasa isyarat dan al-Quran Braille.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.