
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyambut baik intipati Belanjawan MADANI 2027 yang menekankan usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara, khususnya dari aspek aksesibiliti, kebolehpercayaan perkhidmatan dan keselesaan pengguna.
- Penghargaan terhadap keputusan meneruskan kemudahan pas perjalanan My50 yang memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 pengguna Rapid KL setiap bulan.
- Komitmen mempergiat usaha meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh penyelenggaraan dan menangani isu teknikal bagi perkhidmatan rel yang stabil, selamat dan boleh dipercayai.
- Pelaburan RM3.4 bilion untuk program pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel bagi memperkukuh keupayaan dan daya tahan sistem.
- Usaha mengoptimumkan prestasi aset dan meminimumkan gangguan bagi memastikan perjalanan lebih lancar, selamat, selesa serta menyokong sasaran 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2030.
Prasarana menerusi kenyataan merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas keputusan meneruskan kemudahan pas perjalanan My50 yang memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 pengguna perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL di Lembah Klang setiap bulan.
“Prasarana turut menyatakan komitmen untuk mempergiat usaha meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh penyelenggaraan serta menangani isu teknikal secara menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan rel yang stabil, selamat dan boleh dipercayai.
“Sehubungan itu, Prasarana akan melaksanakan pelaburan sebanyak RM3.4 bilion bagi program pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan dan daya tahan sistem berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Pelaburan strategik tersebut juga bertujuan mengoptimumkan prestasi serta kebolehpercayaan aset, selain meminimumkan risiko gangguan perkhidmatan bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa kepada pengguna.
Kesinambungan inisiatif itu amat bermakna dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk perjalanan harian.
Agensi itu turut menegaskan komitmen untuk menyediakan sistem mobiliti yang selamat, cekap, inklusif dan mampan bagi menyokong aspirasi negara mencapai sasaran penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030.